Mushaf bernilai RM22,000 jadi tarikan

Last Updated on


Mohamad Anwar menunjukkan senaskah al-Quran di pameran Simposium Keagungan al-Quran sempena Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. – Foto Sinar Harian (SHARIFUDIN ABDUL RAHIM)

KUALA LUMPUR – Seni khat naskhah al-Quran yang mempunyai reka bentuk motif hasil kerja tangan bernilai RM22,000 antara tarikan di pameran Simposium Keagungan al-Quran sempena Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Manuskrip asal berusia lebih 15 tahun itu dipamerkan oleh salah satu pempamer iaitu Yayasan Restu yang turut ditawarkan untuk jualan.

Ketua Bahagian Pemasaran & Perhubungan Awam Domestik dan Antarabangsa Yayasan Restu, Mohamad Anwar Abu Bakar berkata, keistimewaan naskhah al-Quran dipanggil mushaf itu memberi nilai tersendiri kerana akrilik di atas kertas manuskrip dan emas 24 karat.

Menurutnya, tulisan ayat dari Surah An-Nas dan Al-Falaq itu mungkin kelihatan biasa tetapi motif dalam bingkai berkenaan menjadikannya begitu bernilai.

“Setiap warna adalah sentuhan tangan. Ia mengambil masa lebih kurang dua bulan untuk disiapkan.

“Motif pada seni khat ini yang mengambil masa untuk diwarnakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Anwar berkata, motif pada naskhah al-Quran yang dibuat di negara ini menjadi antara perkara yang begitu dikagumi masyarakat Islam dan bukan Islam dari negara luar.

ahkan katanya, orang Arab juga turut mengagumi reka corak yang diterapkan bersama ayat al-Quran dan menyifatkan sebagai satu bentuk inovasi dan dakwah untuk mendekati al-Quran.

“Dengan corak motif yang ada ini, bukan Islam juga jadi tertarik dengan al-Quran. Ada yang masuk Islam kerana itu.

“Yayasan Restu turut membuat reka corak motif berdasarkan beberapa negara di mana setiap reka bentuk mempunyai nilai dan maksud berkaitan negara terlibat dari segi budaya dan sebagainya,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply