Ubah persepsi hafal al-Quran itu sukar

Last Updated on


Ustaz Ambya Abu Fathin menyampaikan ceramah teknik membaca surah al-Kahf pada Seminar Al-Hafiz, Simposium Keagungan Al-Quran sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.

KUALA LUMPUR – Umat Islam dinasihatkan supaya mengubah persepsi bahawa proses menghafal dan belajar al-Quran itu adalah sukar.

Jurulatih utama Akademi Cordoba di Indonesia, Ustaz Ambya Abu Fathin berkata, Allah s.w.t. menurunkan al-Quran adalah untuk memberi panduan dan hidayah bagi kehidupan manusia.

“Sehubungan itu, selain membaca kita juga perlu memahami dan mempelajari isi kandungan al-Quran bagi memperoleh predikat yang lebih baik daripada Allah s.w.t.

“Justeru, dalam merealisasikan matlamat ini kita sewajarnya menetapkan perasaan, semangat dan keyakinan bahawa belajar serta menghafal al-Quran itu mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Al-Hafiz, Simposium Keagungan Al-Quran sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Tambah beliau, teknik al-Hafiz bukan sekadar menghafal tetapi, memupuk kecintaan hidup bersama-sama al-Quran.

“Bagi memudahkan proses (menghafal), semat dalam hati bahawa Allah adalah tujuan dan motivasi utama kita menghafal al-Quran termasuk melahirkan rasa taqwa dan tawaduk.

Pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Hadis turut menyertai Seminar Al-Hafiz, Simposium Keagungan Al-Quran sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.
Pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Hadis turut menyertai Seminar Al-Hafiz, Simposium Keagungan Al-Quran sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.

“Selain itu, amal dan memahami ayat yang dihafal dan istiqamah serta sabar ketika belajar, menghafal dan membaca al-Quran,” jelasnya.

Sementara itu, pada seminar tersebut para peserta diajar teknik menghafal dan memperkasakan surah al-Kahf oleh Penasihat Rumah Ngaji, Ustaz Cep Ma’mun.

Peserta diberi pendedahan menghafal ayat satu hingga 10 dalam surah tersebut dengan kaedah menyeronokkan.

Antaranya, membaca dengan tartil dan mengikut kaedah tajwid, membaca dengan irama, berulang-ulang dan membahagikan satu ayat mengikut kesesuaian panjang nafas.

Simposium Keagungan Al-Quran merupakan inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Kumpulan Media Karangkraf melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).

Simposium yang julung kali dianjurkan itu bertujuan membawa mesej ‘berinteraksi’ dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.

Pada masa sama, menjadi platform kepada orang ramai berkomunikasi dengan al-Quran khususnya surah al-Kahf yang merupakan solusi dalam mengatasi pelbagai isu kekeluargaan, organisasi dan negara.

Terdapat lima program menarik disusun melibatkan barisan panel profesional yang bakal memberi manfaat kepada para peserta simposium bermula pada 16 hingga 20 April ini. – SINAR HARIAN

Leave a Reply