Memandai-mandai atau tak pandai

Last Updated on

Oleh: Dr Yahya Mat Som

UMAT Islam sering dihina secara sensasi oleh musuh-musuh yang membenci agama Islam. Propaganda jijik seperti ini telah didapati mempengaruhi golongan esktrimis untuk bertindak tanpa perikemanusiaan.

Rentetan dari asakan negatif yang bertubi-tubi, terdapat umat Islam yang lemah iman dan kurang ilmu berasa malu dan serba salah menjadi seorang muslim. Malahan, ada umat Islam yang mempertikaikan syariat Islam kerana pada fikirannya ia tidak selari dengan falsafah persamaan hak asasi manusia ala sekular.

Pelik tetapi benar, mereka mahu digelar Muslim tetapi menolak roh dan amalan Islam.

Juga terdapat golongan muslim yang turut mensensasikan hujah dongeng dan berita negatif yang tidak benar mengenai Islam. Mereka berasa sedih apabila Islam dipertahankan dan diperjuangkan. Sebaliknya, mereka berasa puas apabila syariat Islam diperkecil-kecilkan.

Foto google

Persoalannya, kenapakah ada umat Islam yang mengaku beragama Islam tetapi menolak syariatnya? Adakah mereka jahil dalam mentafsir agama suci ini?

Satu hari hari saya pernah ditanya oleh seorang pelajar Kristian ketika saya menjadi profesor di salah sebuah universiti di Amerika Syarikat, “Apa pandangan doktor mengenai agama Kristian?”

Saya mempunyai dua pilihan jawapan, sama ada menjelaskan apa yang saya fahami mengenai agama Kristian atau saya mengundur diri dari menjawabnya.

“Kamu lebih mengenali agama kamu, dan saya tidak berani untuk memberikan pandangan peribadi. Namun, saya akan menjawabnya dari sudut yang dinyatakan oleh Al-Quran dan Hadis”. Inilah respons saya.

Alhamdulillah, sikap saya yang mengelak dari memberikan pandangan peribadi telah membuka ruang kepada pelajar tersebut untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Al-Quran.

Pengalaman tersebut menunjukkan bahawa perbincangan mengenai agama tidak perlu dicampuradukkan dengan emosi dan andaian-andaian. Memadailah kebenaran disampaikan secara yang jujur dan suci tanpa dihiasi ketulan emas untuk mengindahkannya.

Pelajar psikologi amat memahami yang manusia sangat emosional apabila berbincang mengenai hal-hal kerohanian dan kecenderungan peribadi. Kewajaran akan digunakan untuk mempertahankan pandangan masing-masing demi menyeimbangkan emosi yang tidak stabil apabila ia diserang dengan hujah-balas.

Ada pakar yang mengatakan sikap ini berkaitan dengan ego. Tetapi ramai yang lebih cenderung menyimpulkan ia sebagai sikap mempertahankan identiti atau imej diri.

Inilah keadaan sebenar manusia, mereka sanggup merobek integriti diri demi mempertahankan pilihan dan kecenderungannya. Adakah mereka jahil ketika bertindak sedemikian?

Begitulah juga halnya dengan perbincangan mengenai isu-isu politik.

Dalam berpolitik, sering kedapatan pseudo-fakta disensasikan agar kelihatan menarik. Maklumat yang sahih dinoda agar orang yang menerimanya menjadi keliru. Retorik songsang cuba disucikan dengan kiasan agama.

Tidak kurang juga politikus yang mensasarkan character assassination sebagai senjata utama untuk menewaskan lawan. Mereka dengan sengaja melupakan falsafah, prinsip dan roh parti yang dianuti.

Cerita-cerita dongeng dan palsu diwajarkan untuk dijadikan hujah serta sandaran. Mereka berbangga dengan pembohongan dan fitnah.

Foto Google

Kesannya, rakyat yang jujur dalam perjuangan turut sama dibodohkan. Mereka hanyut dengan kewajaran yang dilontarkan tanpa usul periksa. Inilah akibatnya apabila sesebuah parti politik atau pemimpin dijadikan pujaan.  

Adakah ini yang ingin dicapai dengan menjadikan diri sebagai hamba kepada virus politik menghalalkan cara yang disarankan oleh Niccolo Macchiavelli?

Di manakah silapnya?

Dari sudut Congnitive Dissonance Psychology kepincangan pemikiran seperti di atas dapat disandarkan kepada dua kesan psikologi.

The illusory truth effect merujuk kepada tindakan seseorang yang akan mempercayai dan yakin mengenai sesuatu perkara kerana ia secara berterusan didedahkan dengan sesuatu maklumat, persekitaran atau suasana secara berulang-ulang. Ia mengambil tindakan bukan atas dasar ilmu dan kebenaran tetapi kerana dipengaruhi oleh emosi.

Sementara the illusion of explanatory depth adalah keadaan di mana seseorang berasa ia mengetahui sesuatu perkara melebihi dari kefahaman dan pengalamannya yang sebenar. Ia hanya membuat andaian-andaian yang terhasil dari kewajaran yang menguasai emosinya.

Pakar sosiologi dan psikologi sering memberi amaran. Pada kebiasaannya, kesan sesuatu tindakan dan pembudayaan dalam sesebuah masyarakat akan mengambil masa satu generasi untuk disedari.

Apakah setelah nasi sudah menjadi bubur baru sesuatu kepincangan hendak diperbetulkan?

Hakikatnya, generasi muda era ini kebanyakannya berilmu dan mereka mahu memainkan peranan dalam mencorakkan hala tuju negara. Pada masa yang sama mereka inginkan panduan, kepimpinan dan platform untuk memperarus perdanakan perjuangan mereka.

Persoalannya, adakah nafsu membara anak muda yang berjiwa waja telah disuntik dengan roh perjuangan yang berakhlak, atau ketulusan hati mereka telah dimanipulasi dan eksploitasi?

*Dr Yahya Mat Som adalah pakar dalam bidang Pembangunan Personal dan Profesional (Cognitive Dissonance Psychology)

PENAFIAN:

Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply