Brunei dibuli pertahan kedaulatan

Last Updated on

Oleh Dr Azmi Hassan

BERBAGAI tekanan dikenakan terhadap Sultan Hassanal Bolkiah sejak baginda mengistiharkan negara Brunei Darussalam akan melaksanakan perundangan Islam pada 2013. Tekanan tersebut mencapai kemuncaknya awal April lepas apabila perundangan tersebut dilaksana sepenuhnya yang melibatkan beberapa kod penal jenayah. Pelaksanaan terkini melibatkan kes jenayah zina, homoseksual, rompak dan rogol.

Sultan Hassanal Bokkiah

Bukannya satu perkara yang luar biasa apabila sebuah negara melaksanakan perundangan Islam kerana kebanyakan negara di Timur Tengah mempunyai perundangan seumpama. Namun kes Brunei mendapat perhatian khusus kerana ia merupakan negara Asia Tenggara pertama yang melaksanakan sistem perundangan yang telah lama berfungsi di beberapa negara Islam.

Sebagai sebuah negara kecil, baginda Sultan akur Brunei sentiasa akan terdedah dengan kecaman dan juga ugutan dari awal lagi apabila masyarakat global mendapat tahu hasrat Brunei enam tahun lepas. Telahan baginda menjadi kenyataan dan tidak memeranjatkan apabila tekanan dan ugutan datang secara bertubi-tubi dari berbagai kelompok termasuk dari komuniti diplomatik, aktivis dan juga perniagaan.

Elton John. Foto internet

Aktivis Hollywood seperti Ellen Degeneres, Elton John dan George Clooney begitu hebat dengan kempen mereka untuk memboikot apa saja yang berkait dengan Brunei dengan menggunakan alasan pelanggaran hak asasi manusia.

University of Aberdeen juga memprotes tindakan Brunei dengan menarik balik anugerah ijazah kehormat yang dikurniakan kepada Sultan Brunei pada 1995.

Minggu lepas kerajaan Brunei mengutus surat kepada Kesatuan Eropah (EU) demi memperjelaskan dalil pelaksanaan perundangan Islam terutama sekali yang melibatkan jenayah zina dan homoseksual. Penjelasan tersebut dilakukan ekoran tindakan Parlimen Eropah yang akan mengusulkan resolusi mencemuh Brunei kerana mengenakan hukuman terhadap dua jenayah berkaitan homoseksualiti yang dianggap oleh ahli parlimen EU sebagai tidak berperi kemanusiaan.

Cemuhan itu tidak terhenti setakat resolusi sahaja kerana beberapa ahli parlimen turut menggesa EU mengenakan larangan visa dan pembekuan aset milik kerajaan seperti beberapa hotel milik Agensi Pelaburan Brunei iaitu antaranya The Dorchester, London dan Hôtel Plaza Athénée, Paris.

Strategi tekanan yang diamalkan adalah serupa sebagaimana masyarakat antarabangsa cuba memaksa kerajaan Myanmar menghentikan kekejaman terhadap Rohingya, iaitu dengan memberi tekanan dan mencemuh Aung San Suu Kyi kerana sasaran itu dianggap sebagai sasaran mudah.

Sebab itu berbagai tekanan dikenakan terhadap Sultan Brunei dengan cubaan memberi gambaran betapa kejamnya baginda yang sanggup merejam pelaku zina dan homoseksual dengan batu sehingga mati.

Sebab itu berbagai tekanan dikenakan terhadap Sultan Brunei dengan cubaan memberi gambaran betapa kejamnya baginda yang sanggup merejam pelaku zina dan homoseksual dengan batu sehingga mati.

Begitu jua dengan mana-mana negara atau pemimpin yang menyokong perundangan Islam amalan Brunei terutama sekali negara jiran seperti Malaysia atau Indonesia akan turut dikecam sebagai kaedah untuk menakut-nakutkan pihak yang berniat menyokong Brunei.

Tetapi sehingga kini Brunei tetap bertegas melaksanakan apa yang telah dirancang sejak 2013 lagi kerana kecaman, ugutan dan bantahan diterima dengan hati terbuka bukan sahaja oleh pemerintah tetapi juga rakyat Brunei. Malah bagi rakyat negara jiran tidak menjadi isu yang besar dalam pelaksanaan hukum Islam di Brunei.

Jika diambil iktibar ketika wilayah Acheh, Indonesia mula memperkenalkan perundangan Islam pada 2015, kecaman dari masyarakat antarabangsa juga turut diterima wilayah yang baharu sahaja melepasi era pemberontakan ketika itu.

Tetapi setelah empat tahun pelaksanaannya, bukan sahaja rakyat Acheh dapat menerima kehadiran perundangan sedemikian rupa, malah masyarakat antarabangsa juga turut akur dengan kehendak penduduk wilayah tersebut.

Tidak keterlaluan jika ditakrifkan tentangan terhadap pelaksanaan hukum Islam di Brunei adalah bagai menafikan hak beragama penduduk satu-satu negara sedangkan yang diperjuangkan oleh kumpulan menentang ini kononnya untuk mempertahan hak asasi seseorang.

Kemungkinan juga sikap Islamofobia yang mendorong masyarakat antarabangsa memandang serong terhadap apa sahaja berkait Islam.

Pada 2017 tiga organisasi hak asasi manusia Perancis membuat aduan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) supaya menyiasat layanan tidak adil kepada kumpulan LGBT oleh kerajaan Republik Chechen. Aduan itu berasaskan berlakunya apa yang dipanggil penghapusan beramai-ramai (genocide) melalui penahanan dan penyeksaan terhadap golongan LGBT di Chechen.

Apakah mungkin akan ada organisasi hak asasi antarabangsa yang akan membuat aduan kepada ICC terhadap Brunei? Hanya masa akan menentukannya kerana Brunei sebagai negara kecil sentiasa terdedah kepada risiko dibuli.

*Dr Azmi Hassan adalah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply