Menipu diri atau ditipu

Last Updated on

Oleh: Dr Yahya Mat Som

Penat memikirkan nasib yang menimpa sebahagian umat Islam kerana sering dijadikan scape goat oleh musuh-musuh Islam demi mempromosikan ideologi songsang mereka.

Buntu minda untuk memahami kerelaan dan keinginan sesetengah umat Islam yang berasa megah menjadi kuda tunggangan golongan yang ingin melihat syariat Islam dan umatnya dirosakkan dari dalam.

Kerakusan tindakan puak sekular, liberal dan pluralisme yang dilakukan tanpa berselindung untuk melemahkan roh Islam amat jelas.

Sementara itu, golongan ekstrimis muslim pula menggunakan retorik yang direka sucikan telah mengkhayalkan dan memukau pencinta agama melalui propaganda kosmetik kerohanian yang licik dan mengelirukan.

Namun sebahagian besar umat Islam seolah-olah masih tidur. Mereka sedar akan kesan dari tindakan puak-puak ini tetapi masih menafikan ia satu agenda yang terancang secara sulit.

Apakah yang sedang berlaku?

Mungkinkah umat Islam cuba menipu diri atau sudah tertipu kerana ceteknya ilmu atau keghairahan dalam mencari pujian, sokongan, kekayaan atau kuasa dari golongan yang mempunyai agenda berskala besar untuk melemahkan umat Islam?

Mustafa Kamal Ataturk

Sejarah kepincangan gerakan orientalis dan musuh Islam berwarna-warni dalam cubaan mereka untuk menyesatkan umat Islam dan menghapuskan roh agama Islam. Ia sudah bermaharajalela sejak detik kewafatan Nabi Muhamad s.a.w.

Negeri Aceh pernah menjadi mangsa apabila seorang orientalis menyamar sebagai ulamak. Islam di Turki hampir terkubur selama 70 tahun akibat mendewakan fahaman sekular ala Artatuk. Umat Islam yang bersemangat jihad ditipu dan tertarik dengan golongan al-Qaeda, Daesh dan ISIS.

Apakah maknanya ini? Tidakkah ada pengajaran yang boleh diambil dari sejarah dan peristiwa seperti ini?

Kalau dalam hal-hal agama umat Islam masih dapat disesatkan walaupun hadis dan Al-Quran dijadikan panduan, apatah lagi dalam soal kehidupan harian tanpa sempadan yang dinamik, asimitrikal dan progresif.

Sikap, budi dan berprasangka baik umat Islam telah menjadikan mereka lubuk yang kaya dengan kelemahan untuk dimanipulasi dan dieksploitasi. Hasilnya, minda muslim berfikiran celaru telah berjaya dibingkaikan sehingga mereka tidak berasa terkesan dengan komplot kejahatan yang mereka sendiri promosikan.

Masalah seperti ini menjadi lebih kronik apabila individu dan kumpulan muslim yang bijak pandai, berjaya dan berkuasa turut sama mengambil kesempatan untuk menobatkan diri sebagai pejuang hak asasi acuan sekular.

Mereka berasa teruja dan hebat apabila mempertahankan ideologi dan agenda yang meminggirkan Islam. Sebaliknya, mereka berasa rendah diri dan hina walau sekadar untuk menjelaskan kesucian Islam, apatah lagi untuk mempertahankannya.

Dalam proses menegakkan kecelaruan yang dibawa, golongan ini lebih cenderung untuk meletakkan pencapaian prestasi keduniaan yang bangkrap nilai dan ketandusan roh agama mengatasi segala-galanya.

Umat Islam yang lemah iman dan ada yang berilmu turut menjadi mangsa kelicikan hasutan yang datang ibarat Tsunami. Pada fikiran mereka, asakan budaya songsang yang sedang melanda adalah terlalu besar dan hebat untuk ditentang. Maka jalan yang terbaik ialah dengan mengikut arus badai Tsunami bagi menyelamatkan diri.

Pemikiran liberal yang bertopengkan Islam hanya akan merosakkan pemikiran dan melemahkan kekuatan umat Islam dari dalam. – Foto Google

Dalam ilmu Cognitive Dissonance Psychology, bukanlah satu perkara yang memeranjatkan apabila massa turut terjebak dalam mendendangkan kekaguman mereka terhadap sesuatu budaya baharu. Mereka tidak perlu faham apa yang dianuti dan dilakukan, dan tidak perlu menilai kesan dan akibat dari sesuatu tindakan.

Mereka hanya perlu meniru saranan dari individu atau kumpulan yang diyakini kerana kehebatan ilmu, kuasa dan pencapaiannya.

Inilah hakikat kehidupan new normal generasi muda hari ini. Dalam keadaan mereka kebingungan mencari kebenaran dan kesempurnaan, tanpa disedari minda dan emosi mereka telah disuntik kewaswasan dan dineutralisasikan dari mengenali agama Islam yang sebenar.

Siapakah yang perlu dipersalahkan? Golongan generasi muda yang sedang terpukau atau pemimpin jelmaan Niccolo Machiavelli yang mengharuskan tindakan tidak beretika demi mencapai matlamat?

Melihat kepada unjuran jumlah penduduk Malaysia mengikut kaum dalam beberapa tahun ke hadapan, tidak boleh dinafikan bahawa Malaysia akan menjadi negara yang dikuasai dan didominansi oleh umat Islam sepenuhnya.

Persoalannya, umat Islam yang berpegang kepada ideologi Islam yang mana satukah akan menjadi penentu retorik politik, mempengaruhi polisi pentadbiran negara dan menguasai budaya kehidupan harian?

*Dr Yahya Mat Som adalah pakar dalam bidang Pembangunan Personal dan Profesional (Cognitive Dissonance Psychology)

PENAFIAN:

Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply