Bentuk jawatankuasa seragam AP sisa plastik

Last Updated on

Zuraida beramah mesra dengan rakyat sempena Program Infaq dan Iftar Perdana Penggerak Muafakat Nasional Kedah di Masjid Batu 5, Jalan Gurun Jeniang semalam.

GURUN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membentuk jawatankuasa dari beberapa kementerian bagi menyeragamkan penguatkuasaan lesen import (AP) sisa plastik membabitkan keseluruhan 26 kod.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, jawatankuasa yang dibentuk membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) yang akan diketuai KPKT.

Menurutnya, setakat ini, hanya plastik dari kod 3915 dikendalikan KPKT dengan peraturan dan kawalan ketat berbanding kod lain.

“Ada 26 kod berbeza untuk AP plastik yang KPKT kendalikan hanya melibatkan plastik Kod 3915, satu-satunya kod yang ada peraturan dan syarat tertentu, yang lain tak ada.

“Saya sedang kaji balik untuk melihat skop plastik semua jenis kod atau kategori lain, kemungkinan untuk kita kenakan prosedur operasi standard (SOP) atau dikawal selia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir ke Program Infaq dan Iftar Perdana Penggerak Muafakat Nasional Kedah di Masjid Batu 5, Jalan Gurun Jeniang semalam.

Katanya, penyeragaman yang bakal dilaksanakan itu bertujuan memperkasakan penguatkuasaan, sekaligus memudahkan tindakan diambil terhadap pemegang AP yang tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.

“Insya-ALLAH tahun ini kita boleh laksanakan jika ada persetujuan dan penyeragaman,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPKT telah meluluskan 44 daripada 54 permohonan AP selepas 18 syarat baharu dipatuhi, sejak diarahkan bermula Disember lalu.

Dalam majlis sama, seramai 310 penerima dari seluruh Kedah diraikan dalam Infaq dan Iftar Perdana termasuk 10 anggota bomba turut menerima sumbangan disampaikan Zuraida, bagi meringankan beban sempena Ramadan. – Sinar Harian

Leave a Reply