Kaji tanaman baharu untuk Felda: Daim

Last Updated on


Tun Daim (dua dari kiri) bersama Mazlan (kiri) memerhatikan pokok vanila sempena lawatan kerja di Felda Lurah Bilut, kelmarin.

BENTONG – Kajian menyeluruh mengenai tanaman yang boleh diterokai oleh Felda perlu dilakukan sebelum ia dilaksanakan di tanah-tanah rancangan Felda di seluruh negara.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berkata, kajian itu perlu dilakukan supaya ia dapat membantu peneroka Felda meningkatkan pendapatan masing-masing.

Menurutnya, tanaman yang cepat mengeluarkan hasil dan mempunyai pasaran yang baik menjadi pilihan untuk membantu golongan terbabit.

“Lebih baik buat sesuatu benda (penanaman baharu) buat kajian terlebih dahulu dan jumpa agensi dan kementerian berkaitan sebab kita tanam benda hendak hasil yang cepat dan mempunyai pasaran yang baik.

“Macam durian Musang King dilakukan kajian di Jepun mereka katakan boleh berbuah dua tahun dan menghasilkan aiskrim rasa durian tetapi tidak berbau durian,” katanya sempena lawatan kerja beliau ke Felda Lurah Bilut di sini kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mazlan Aliman.

Dalam majlis tersebut, tiga tanaman baharu iaitu durian Musang King, vanila dan halia Bentong diperkenalkan untuk ditanam di Felda Lurah Bilut.

Ujarnya lagi, kajian yang dilakukan hendaklah secara menyeluruh termasuk sektor pasaran dan juga teknologi termasuklah dalam mempercepatkan hasil dan sebagainya.

Katanya, apa yang penting adalah penanaman sesuatu produk pertanian itu termasuklah durian Musang King, vanila dan juga halia Bentong seperti di Felda Lurah Bilut mampu memberikan hasil yang baik.

“Jadi saya ingin meminta semua pihak termasuk warga Felda dan pelbagai pihak lain dapat menjalinkan kerjasama berterusan dalam menjayakan usaha membantu golongan peneroka,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply