Berakhlak, keliru atau dikelirukan

Last Updated on

Oleh: Dr Yahya Mat Som

“Ramadhan Mubarak….Ramadhan Kareem” Inilah mesej yang membadai media sosial ketika di ambang bulan Ramadan. Sejuk hati dan teruja jiwa apabila aplikasi Whatsapp dihujani ucapan yang mengagungkan bulan paling mulia ini.

Serentak dengan keterujaan ini, terdapat individu dan kumpulan yang ghairah pula mempersoalkan jumlah solat tarawih dan berkilometer panjang kupasannya. Manakala ada kumpulan dengan nada pedas yang memekakkan telinga menjerit-jerit mempersoalkan tarikh sebenar Nuzul Al-Quran. Dan, suasana ambang Ramadan turut dipanaskan dengan hujah syeikh-syeikh bertaraf pasar malam yang saling berbalas tembakan mengenai cara rukyah atau falak dalam menentukan bermulanya bulan di mana turunnya Lailatul Qadar.

Belum pun bulan Ramadan bermula, sudah wujud perpecahan yang membingitkan.

Anehnya, sebelum memulakan hujah, masing-masing mengucapkan Assalamualaikum. Adakah ucapan salam hanya sebagai pembuka kata tanpa perlu disusuli dengan tindakan dan tutur kata yang berakhlak?

Sikap kerap mem‘bid’ah’kan orang lain akan menjerumuskan diri kepada pemikiran takfiri.

Bid’ah….bid’ah” ungkapan paling merdu tetapi menyakitkan telinga sering terbolos keluar dari minda yang ingin menjadi pembela kepada sabda baginda Nabi Muhammad SAW, “Barang siapa membuat suatu perkara baharu dalam urusan kami ini (urusan agama) yang tidak ada asalnya, maka perkara tersebut tertolak” (Bukhari dan Muslim).

Sayangnya, kerana kekhusyukan untuk menghayati hadis ini, ada individu dan kumpulan tertentu yang terlepas pandang mengenai akhlak yang disyariatkan oleh Islam ketika berbincang. Ia melenting menuduh dengan nyaring orang lain yang dianggap melakukan bid’ah tetapi terlupa yang dirinya sedang berbid’ah dalam berhujah.

Apakah umat Islam keliru atau dikelirukan apabila aspek-aspek akhlak tidak dijadikan keutamaan?

Ada umat Islam yang hebat dengan ilmu agama tetapi akhlak berhujah sering dinodai. Ada yang unggul dalam berkebajikan namun akhlak dalam berurusan dibakulsampahkan. Ada yang rakus dengan ibadah tetapi memilih untuk mengasingkan akhlak dalam tindakan.

Juga, tanpa disedari ramai umat Islam yang menjadi pak turut dalam berpolitik. Mereka tidak pernah melafazkan bai’ah, tetapi pada hakikatnya gelagat mereka jelas ke arah ini. Sokongan mereka yang keterlaluan menewaskan logik akal. Benar dan salah bukan satu perkiraan, tetapi yang penting ialah kejelekitan kumpulan yang membabi buta.

Juga, tidak perlu memerah otak, kedapatan ramai umat Islam yang mengaku berjenama muslim, tetapi mereka masih ragu-ragu dengan saranan al-Quran dan hadis dalam menjalani kehidupan harian.

Juga, kelihatan muslimin berpusu-pusu ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat bagi menyahut seruan Illahi, tetapi sebaik selesai bersolat, kehidupan kembali normal tanpa roh Jumaat menjelma dari dalam jiwanya. Seolah-olah ibadah Jumaat hanyalah acara hiburan mingguan yang membosankan.

Gambaran apakah yang dapat dipelajari dari kes-kes seperti ini?

Sukar dipastikan di mana dan bagaimana silapnya pembudayaan akhlak dalam masyarakat di negara ini sehingga ia gagal disepadukan dalam tutur kata dan tindakan.

Dari masjid hinggalah ke institusi pendidikan, dari acara sosial hinggalah ke pentas politik, dan dari hubungan kekeluargaan hinggalah ke pengurusan perniagaan, akhlak bukan lagi sesuatu yang diutamakan dan perlu dipromosikan.

Akhlak didendang-dendangkan ibarat lip service yang tidak membawa apa-apa makna. Ia hanya indah diucapkan apabila perlu, namun apabila berhadapan dengan cabaran, soal akhlak bukan lagi satu keperluan.

Kebobrokan umat Islam mengikis akhlak dalam kehidupan sudah tidak terasa. Ia terlalu kerap dan terlalu berleluasa. Malah ada yang menganggapnya satu keperluan dalam keadaan yang terdesak dengan alasan rukhsah!

Pendewa falsafah rukhsah memberikan gambaran seolah-olah usaha Nabi Muhammad SAW dalam membetulkan aqidah dan akhlak sudah tidak selari dengan kehidupan masa kini.

Apa tidaknya, politik dipisahkan dari akhlak. Perniagaan dan perkhidmatan yang berakhlak tidak dirasakan dapat memaksimumkan produktiviti dan keuntungan. Hubungan sesama insan terasa rugi jika ia bermodalkan akhlak. Ilmu dan pendidikan hanya memuja pencapaian walaupun tanpa akhlak.

Adakah umat Islam keliru atau dikelirukan mengenai keutamaan akhlak dalam kehidupan?

Lihat sahaja contoh-contoh yang berlegar di ruang bumi Malaysia ketika ini. Ibu bapa lebih mementingkan kejayaan anak-anak dari mengutamakan akhlak. Pentadbir dan pengurus meletakkan pencapaian mengatasi keperluan bekerja secara berakhlak. Pemimpin pula sering memberi hujah cognitive dissonance yang menghiburkan dan memperbodohkan rakyat dengan lakonan berakhlak songsang.

Sesungguhnya pada diri Rasulullah ada teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharapkan Allah dan hari akhirat serta banyak berzikir kepada Allah.” Inilah sifat dan sikap Nabi Muhammad SAW yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Al-Ahzab ayat 21.

Namun, di manakah akhlak yang dipamerkan oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan majoriti umat Islam di Malaysia?

*Dr Yahya Mat Som adalah pakar dalam bidang Pembangunan Personal dan Profesional (Cognitive Dissonance Psychology)

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply