Malaysia tetap tolak LGBT

Last Updated on


Datuk Marzuki Yahya. FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR – Malaysia sebagai sebuah negara Islam tetap kekal dengan pendiriannya dalam isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya.

Sebagai sebuah negara yang berpegang kepada prinsip-prinsip Perlembagaan, Raja-Raja dan agama Islam sebagai agama rasmi, perkara-perkara yang menyalahi agama seperti LGBT sudah pasti ditolak.

Namun, Malaysia pada masa sama tidak menyokong pelaksanaan hukuman rejam sampai mati di bawah undang-undang anti-LGBT, sebagaimana laporan Sinar Harian yang memetik Bernama.

Beliau berkata demikian sebagai tindakbalas terhadap kenyataan pelakon Hollywood, George Clooney yang dilaporkan memberi amaran kepada Malaysia dan Indonesia berhubung pelaksanaan undang-undang anti-LGBT sebagaimana di Brunei.

“Kita kena pegang kepada prinsip kita sebagai sebuah negara yang berdaulat dan negara Islam,” kata Marzuki ketika menghadiri Iftar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), di Putrajaya semalam.

Awal bulan lepas media melaporkan negara Brunei memutuskan bahawa di bawah peruntukan undang-undang baharu, penalti bagi pelaku zina dan homoseksual dari kalangan orang Islam di negara itu yang didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman direjam dengan batu sampai mati.

Bagaimanapun 5 Mei lepas Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan pelanjutan moratorium, atau penangguhan, terhadap hukuman mati susulan kritikan global, termasuk dari kalangan selebriti seperti Clooney dan Elton John.

Leave a Reply