Kalau bukan salah ibu yang mengandung, salahkah guru yang mendidik?

Last Updated on

Oleh Rokiah Bt Uda Putra

PADA tarikh 16 Mei setiap tahun, gegak gempitalah seluruh warga  pendidik menyanyikan lagu keramat mereka ‘Guru Malaysia’ dengan penuh semangat.

Setiap patah lirik yang keluar dari mulut guru-guru ini melambangkan ikrar yang tak berbelah bahagi seorang pendidik dalam merealisasikan amanah yang dipertanggungjawabkan di pundak mereka.

Ikrar murni kepada anak didik, pemerintah dan negara tercinta tidak pernah dipersiakan.

Suatu ketika dahulu, seseorang yang bergelar guru akan disanjung tinggi dek kerana hebatnya profesion yang dijawatnya.

Tapi kini, sejajar dengan arus kemodenan dan kehebatan kemajuan dunia tanpa sempadan, profesion ini semakin diketepikan dan dipandang hina.

Maruah guru dipijak-pijak, dianggap langsung tidak bernilai sedangkan Islam meletakkan martabat seorang guru itu di tempat yang paling tinggi.

Islam memberi penghormatan yang sangat tinggi serta mengangkat darjat guru. – Foto Google

Sebagai contoh, maksud hadis riwayat Tirmizi disahihkan oleh Al-Albani : “ Sesungguhnya Allah  dan malaikat, penghuni langit serta bumi sehinggakan semut yang berada di dalam lubang dan ikan (di lautan) mendoakan kebaikan ke atas guru yang mengajar kebaikan kepada manusia.”

Namun, senario di Malaysia dewasa ini jauh berubah. Saban hari , ada sahaja berita yang tidak enak yang keluar di media massa  berkaitan dengan guru.

Semakin ramai guru diseret di mahkamah kerana kerakusan naluri mereka dalam merealisasikan ikrar yang telah dibuat demi kejayaan  anak bangsa dan pertiwi.

Niat murni seorang guru yang cuba menghalang anak murid dari terus terjebak dengan bahan inhalan nyaris-nyaris membuatkannya hilang pekerjaan kerana direhatkan di sebalik tirai besi.

Berita seorang ustaz dipenjarakan kerana merotan murid yang enggan bersolat turut menjadi bualan hangat dalam kalangan golongan pendidik.

Dunia melihat tindakan guru ini sangat kejam, tidak berperi kemanusiaan dan mahkamah memutuskan wujudnya unsur-unsur penderaan dalam tindakan yang diambil.

Sedarkah kalian bahawa seorang guru itu ialah manusia normal yang sarat dengan akal dan emosi?

Walaupun mempunyai akal yang waras, tetapi timbul provokasi yang melampau, kadang kala  emosi sukar diatasi. Maka terlakarlah sejarah hitam dalam diri hingga ke mati!

Sesungguhnya tugas memanusiakan manusia itu sangat sukar.

Manusia dilahirkan dalam pelbagai perbezaan sama ada dari segi latar belakang, fahaman, kepercayaan, cara berfikir, kecerdasan dan kebolehan. Semua ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah inginkan anak-anak mereka berjaya dalam hidup.

Tetapi tidak semua ana-anak yang datang ke sekolah itu mempunyai matlamat yang selari dengan kehendak ibu bapa mereka.

Seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira status sosial mesti memberi penghormatan dan kerjasama kepada para guru agar misi ‘memanusiakan’ para anak bangsa dapat direalisasikan. – Foto Google

Paling malang sekali, golongan pendidik inilah yang akan tersepit dan  disalahkan jika murid gagal mencapai kejayaan, jika keputusan peperiksaan awam sesebuah sekolah merudum, jika pencapaian sesuatu mata pelajaran tidak memberangsangkan.

Berperang dengan kemajuan teknologi yang berkembang pesat juga merupakan ancaman bentuk baharu dalam kalangan pendidik.

Kelekaan anak-anak muda menghabiskan masa dengan telefon pintar sama ada melayari laman sesawang dan laman sosial yang tidak sepatutnya, mahupun leka bermain dengan permainan dalam talian menyebabkan tanggungjawab seorang murid diabaikan begitu sahaja.

Longgokan beban kerja selain tugas hakiki yang boleh mengganggu tahap kompetensi dan kehidupan berkeluarga guru harus dikurangkan.

Jika dilihat di negara Barat, terutamanya di United Kingdom dan Amerika Syarikat, mereka sentiasa mengutamakan kebajikan dan sokongan kepada guru kerana bidang pendidikan adalah penyumbang kepada pembangunan insan dan negara.

Persekitaran  sekolah yang kondusif harus disediakan bagi mengatasi masalah murid melanggar disiplin sekolah.

Walau apapun gelaran, sama ada guru, pendidik, mudarris, muallim, murabbi, muaddib ataupun mursyid , permudahkanlah tugas mereka.

Bagi memastikan kemenjadian murid, selain guru, pihak pentadbir, ibu bapa dan masyarakat perlulah memainkan peranan masing-masing.

Adab belajar ; guru mengajar, murid belajar harus dipatuhi. Guru harus dihormati bukan dicaci demi keberkatan ilmu itu sendiri.

Kejayaan akan mudah tercapai dengan bantuan ibu bapa dan masyarakat dalam aspek kepakaran dan tenaga.

Maksud hadis Rasulullah s.a.w “ Apabila matinya anak Adam akan terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya”.

*Rokiah Bt Uda Putra adalah seorang guru sekolah.

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply