Menangani gerakan anti-vaksin

Last Updated on

Oleh Dr Azmi Hassan

GERAKAN anti vaksin di Malaysia pada ketika ini dianggap begitu aktif dan amat berkesan membuatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agak gusar dengan perkembangan ini. Selain mampu memporak-perandakan senario kesihatan negara, pengaruh gerakan tersebut dianggap sebagai penyebab utama tahap imunisasi dalam kalangan kanak-kanak merosot dengan mendadak sejak kebelakangan ini.

Mengikut data KKM, kes kanak-kanak yang tidak menjalani imunisasi adalah seramai 470 pada tahun 2013. Ia terus meningkat pada tahun lepas sehingga 1,292, satu angka yang agak membimbangkan kerana peningkatannya menghampiri tiga kali ganda hanya dalam masa 5 tahun.

Kes kanak-kanak yang tidak menjalani imunisasi semakin meningkat. GAMBAR HIASAN

Jika sebelum ini kawasan luar bandar mempunyai banyak kes ingkar imunisasi, namun kini kes ini menular ke bandar di mana jumlah ini telah mula meningkat. Hal ini memberi gambaran bahawa ibu bapa yang menolak imunisasi adalah kerana pilihan mereka sendiri.

Malah hasrat KKM untuk mewajibkan pengambilan vaksin terbantut seketika kerana wujud penentangan yang agak kuat secara bersepadu dan tersusun.  

“Pengambilan vaksin merosot sejak beberapa tahun lalu, apabila kita tak capai 95% imunisasi, kita takut yang tidak diimunisasi akan menyebabkan wabak seperti apa yang berlaku di Johor ketika ini”, tegas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad yang mengulas kes penularan penyakit difteria yang melanda Johor pada Februari lepas.

Walaupun kes difteria di Johor itu tidak dikelaskan sebagai wabak tetapi ia telah menyebabkan satu kematian kanak-kanak berumur dua tahun, dan paling menyedihkan kematian ini mungkin boleh dielakkan jika arahan imunisasi diikut dengan sempurna.

Bukan difteria sahaja yang mudah merebak dalam kalangan kanak-kanak, tetapi juga demam campak dan batuk kokol yang mudah berjangkit. Kanak-kanak yang tidak mempunyai imunisasi yang lengkap akan terdedah kepada tahap bahaya penyakit berkenaan.

Penyakit yang mudah merebak seperti difteria, demam campak dan batuk kokol boleh dikawal dengan imunisasi yang sempurna. GAMBAR HIASAN

Salah satu hujah paling popular yang digunakan kumpulan anti vaksin adalah status halal kandungan vaksin itu yang menyebabkan ramai ibu bapa sangsi untuk menyempurnakan proses imunisasi anak mereka.

Keadaan menjadi bertambah genting apabila ibu bapa yang menolak imunisasi melalui vaksin mempunyai pilihan iaitu perubatan alternatif yang didakwa mampu mengambil alih peranan vaksin.

Terdapat juga ibu bapa yang menolak imunisasi melalui vaksin kerana khuatir kesan sampingan, tetapi golongan ini adalah minoriti berbanding dengan kumpulan yang ragu-ragu akan status halal kandungan vaksin.

Bagi ibu bapa yang menolak imunisasi untuk anak mereka, ia bukan sekadar membahayakan kanak-kanak tersebut tetapi lebih daripada itu, ia turut menjadi ejen penularan penyakit. Ini kerana kanak-kanak yang telah menjalani imunisasi juga masih terdedah kepada penyakit.

Wabak demam campak yang mula melanda bandaraya New York, Amerika Syarikat (AS) tahun lepas masih belum reda dan untuk tahun ini sahaja terdapat sebanyak 880 kes baharu yang dilaporkan.

Golongan anti-vaksin mempunyai pilihan lain seperti perubatan alternatif yang didakwa mampu mengambil alih peranan vaksin.

Wabak kali ini dianggap paling besar berbanding apa yang berlaku pada 1994 dan dianggap begitu kronik sehingga memaksa bandaraya itu meluluskan peruntukan untuk menegah kanak-kanak yang tidak mempunyai imunisasi berada di tempat awam termasuk sekolah.

Pendekatan berhemah perlu digunakan bukan sahaja oleh KKM tetapi masyarakat untuk menghadapi kumpulan anti vaksin ini. Tindakan menyisih dan mencela kumpulan ini tidak akan membawa manfaat kerana mereka pasti akan menjauhkan diri dan jika ini berlaku ia akan secara langsung akan menutup pintu komunikasi.

Kebimbangan mengenai status halal atau kesan sampingan tidak boleh diperlekehkan kerana kemusykilan itu ada asasnya.

Senario menjadi lebih rumit bila terlalu banyak maklumat yang berat sebelah mengenai kemudaratan vaksin tersebar dalam media sosial. Ia menjadi lebih parah apabila mereka yang mempunyai kepakaran perubatan turut menyumbang kepada kebimbangan bagi mereka yang mahu melaksanakan imunisasi kanak-kanak ini.

Tindakan menyisih dan mencela kumpulan ini tidak akan membawa manfaat kerana mereka pasti akan menjauhkan diri dan jika ini berlaku ia akan secara langsung akan menutup pintu komunikasi.

Mengikut kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye dalam sidang parlimen pada awal April lepas ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Adam Baba (BN-Tenggara), kumpulan anti vaksin ini dikatakan bergerak secara bersendirian dan pada anggaran beliau hanya 1% rakyat Malaysia yang terpengaruh dalam gerakan tersebut.

Dr. Lee juga ada menyebut keputusan sama ada untuk menjadikan imunisasi sebagai mandatori akan diketahui hujung April ini. Ini adalah juga ekoran dari kenyataan Menteri Kesihatan bahawa pasukan petugas telah ditubuhkan supaya cadangan imunisasi mandatori terhadap penyakit gondok, demam campak, rubela dan difteria dimuktamadkan.

Sehingga kini belum ada keputusan yang diputuskan. KKM perlu bergerak pantas dalam isu imunisasi kerana lebih lama masa berlalu, tidak syak lagi kanak-kanak yang tidak melalui proses imunisasi sempurna ini semakin bertambah.

*Dr Azmi Hassan adalah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply