Ramadan yang tragis di Syria

Last Updated on

Seorang lelaki menyelamatkan seorang kanak-kanak mangsa serangan yang dilakukan ke atas sebuah pasar di Maarat al Nu’man. FOTO AFP

TIADA satu haripun di bulan Ramadan di bahagian barat laut di utara Syria yang terlepas dari serangan udara tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya Rusia.

Dalam tempoh 24 jam, pada setiap saat hidup pelarian dan orang awam di situ penuh dengan risiko. Serangan udara dan darat dilakukan tanpa mengira masa. Adakala pada waktu berbuka dan ada masanya ketika bersahur.

Di mana tempat orang awam berkumpul, di situlah ia akan menjadi sasaran.

Usahkan rumah, masjid yang menjadi rumah Allah turut dibom. Begitu juga dengan pasar yang menjadi tempat orang awam mendapat keperluan makanan, ia kini menjadi perangkap maut.

Kanak-kanak ini melarikan diri selepas terselamat dari serangan bom tentera regim Bashar al Assad di sebuah pasar di Maarat al Nu’man. Sekurang-kurangnya 12 maut dalam keganasan yang dilancarkan ke atas bandar itu pada 26 Mei 2019. FOTO SYRIA-CARE MALAYSIA

Dalam video yang dimuat naik admin Syria Care https://www.facebook.com/syria.care/videos/386999515357093/, yang pada waktu ini telah dipadam, ia menunjukkan rakaman tragis dalam serangan yang dilakukan ke atas sebuah pasar di Maarat al Nu’man, di mana kelihatan seorang remaja lelaki terputus kaki sedang meraung kesakitan

Menurut AFP, dalam serangan pada Ahad, sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak terbunuh di situ, manakala serangan di pelbagai tempat lain di bandar berkenaan menyebabkan 12 nyawa melayang.

Ramadan di tahun ke-lapan konflik ini benar-benar menguji iman, akal dan jiwa rakyat Syria yang telah lama sengsara.

Mengulas mengenai serangan pada 26 Mei, Syrian Observatory for Human Rights (SOHR) berkata, ia paling teruk sejak kempen besar-besaran dilancarkan empat minggu lalu.

Dalam serangan pada Ahad, Pengarah SOHR, Rami Abdul Rahman berkata, pesawat dan helikopter regim Bashar melancarkan tidak kurang 280 serangan dan sekutunya, Rusia 15 pengeboman ke atas kedudukan orang awam di utara Syria.

Menurut Union of Medical Care and Relief Organisations (UOSSM)pula, operasi tanpa henti sejak 28 April lalu telah mengakibat 229 orang awam terbunuh manakala 727 lagi cedera.

Lebih 300,000 lagi terpaksa melarikan diri ke kawasan yang dirasakan selamat.

Bertambah malang, lebih 20 pusat kemudahan rawatan telah diserang. Dari jumlah itu, hanya satu yang masih boleh beroperasi. Selebihnya musnah teruk dan tidak lagi boleh digunakan.

RAZALI AWANG Media Syria Care

Leave a Reply