Mampukah kemajuan sains meramalkan Laylat al-Qadr?

Last Updated on

Oleh Hilman Fikri Azman

KEMAJUAN sains dan astronomi telah memungkinkan manusia untuk mencapai banyak perkara yang dahulunya tidak tercapaikan. Pada 10 April yang lalu, teleskop Event Horizon telah merakam foto pertama lohong hitam dalam sejarah.

Penemuan ini tentunya mengujakan para fizikiawan yang selama ini berhempas-pulas mengira dan merangka formula untuk meneka bagaimanakah bentuknya lohong hitam itu.

Foto pertama sebuah lohong hitam supermasif yang dirakam oleh The Event Horizon Telescope, gabungan 8 buah teleskop radio seluruh dunia. Imej ini menunjukkan bahan-bahan yang bercahaya ketika ia berputar mengelilingi lohong hitam di tengah-tengah. Graviti melampau di sini menyebabkan bentuk cakera itu terherot. SUMBER FALAKONLINE/FOTO EHT

Selain itu, manusia juga mampu untuk meramal fenomena-fenomena berdasarkan data-data astronomi yang diperolehi. Kita boleh tentukan misalannya bilakah permulaan musim pada setiap tahun.

Kita juga mampu menyingkap bilakah akan berlakunya peristiwa apogee dan kita mampu mengenal pasti bilakah Zuhrah dapat dilihat dari langit Bumi. Demikian dunia sains empirikal yang boleh difahami dan dikesan coraknya berdasarkan undang-undang alam yang muktamad.

Adapun hal metafizik, maka ia berada di luar kemampuan sains untuk menentukan atau meramalkannya, walau semaju mana sekalipun ia. Kajian astronomikal tidak mampu mengenalpasti bilakah akan berlakunya perkara metafizikal seperti Laylat al-Qadr, dan bagaimanakah secara fizikalnya ia berbeza daripada malam-malam yang lain.

Hal ini kerana keistimewaan dan kemuliaannya tidak diikat secara empirikal, melainkan secara metafizikal, yang hanya dapat dihayati menerusi keimanan kepada agama yang berpangkal dalam hati manusia. Oleh itu, apa jua maklumat mengenainya hanya dapat disahkan sekiranya dinyatakan dalam sumber wahyu.

Kemajuan sains masih belum mampu menentukan atau meramalkan hal metafizik seperti mengenalpasti tarikh yang tepat untuk malam al-Qadr. FOTO http://al-athfar.blogspot.com/

Maka Allah Taala menerusi wahyunya telah menjelaskan mengenai kemuliaan Laylat al-Qadr yang menjadi malam diturunkan padanya kitab al-Qur’an. Firman-Nya dalam surah al-Qadr ayat 1:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada Laylat al-Qadr.”

Damir ‘hu’ pada ayat pertama tersebut telah ditafsirkan sebagai merujuk kepada al-Qur’an. Ia selaras dengan sepotong nas lain dalam surah al-Dukhan ayat 3, yang dalam kenyataan yang sama, mengembalikan damir ‘hu’ itu kepada al-Qur’an. Perkara ini jelas dan al-Imam al-Razi dalam tafsirnya Mafātīḥ al-Ghayb menyebut bahawa ia tidak berhajat kepada spesifikasi lanjut (al-istighna’ ‘an al-taṣrīḥ)

Selain itu, Laylat al-Qadr juga disifatkan dengan kemuliaannya yang mengatasi lebih seribu bulan.

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ

“Laylat al-Qadr lebih baik daripada seribu bulan.”

Al-Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya al-Jāmi‘ li Aḥkām al-Qur’ān telah menyebut bahawa setiap kali sesuatu perkara itu disifatkan dengan banyak, maka ia merujuk kepada keagungan dan besarnya fadilat. Kerana keutamaannya ini, umat Islam disarankan untuk merebutnya pada 10 malam terakhir Ramadan (iltamisū mā fī al-‘ashr al-awākhir).

Namun, bilakah berlangsungnya Laylat al-Qadr itu? Allah lebih mengetahui. Tempoh waktunya dirahsiakan Allah Taala – tiada dinyatakan dalam Qur’an dan juga Sunnah – sehingga khilaf mengenai tarikhnya berlangsung pada setiap kali bulan Ramadan saban tahun.

Para sahabat RA melaporkan bahawa Nabi SAW sekadar memberikan gambaran pada malam ke berapa sahaja ia berlaku, seperti sabdanya mengenai malam-malam ganjil (witr). Dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari, baginda menyebut “carilah ia pada malam ke-27, 29 dan 25.”

Antara kemuliaan Laylat al-Qadr ialah ia dipilih menjadi malam diturunkan padanya kitab al-Qur’an.

Keterhadan maklumat dari angkasa ini tidak menghalang beberapa orang sahabat daripada memberi pandangan mengenai apa yang mereka rasakan sebagai tanda-tanda akan hadirnya malam yang mulia itu. Ubay bin Ka‘ab misalannya menyebut bahawa antara tanda Laylat al-Qadr itu adalah apabila siangnya tiada terasakan terik daripada sinaran Matahari.

Wathilah bin al-Asqa‘ pula mengkhabarkan mengenai keadaan langit pada malam itu, betapa ia kelihatan bergemerlapan, dan bahawa suhu pada malam itu tidak panas dan tidak sejuk. Demikianlah pandangan mereka.

Tanda-tanda yang mereka nyatakan ini semuanya bersifat empirikal, yang mampu dikesan oleh deria mereka tatkala itu. Namun ini tidak menjawab persoalannya paling utama; bagaimanakah mereka boleh yakin bahawa malam yang mereka alami itu merupakan Laylat al-Qadr? Dan apakah bukti bahawa tanda-tanda ini memang unik dan tidak akan berulang lagi untuk hari-hari lain yang bukan Laylat al-Qadr?

Maka jelaslah bahawa tanda-tanda tersebut merupakan pemerhatian hasil pengalaman spiritual mereka beribadah di malam hari. Tanda-tanda itu tidak boleh disahkan (confirmed) mahupun disangkal (falsified), menjadikan ia eksklusif untuk mereka yang mengalaminya sahaja. Pada penilaian tokoh mantiq Ludwig Wittgenstein, kenyataan sedemikian tidak boleh dijadikan hujah.

Nabi SAW tetap berjaga malam pada kesemua 10 malam terakhir Ramadan untuk beribadah, serta mengejutkan keluarganya bangun dari tidur sebagaimana yang dilaporkan oleh Aishah RA. Dan barangkali itulah objektif terbesar perahsiaan ini, agar manusia berterusan beribadah kepada Tuhannya tanpa mengkhususkan kepada mana-mana hari tertentu.

Maka dalam hal ini, jalan yang terbaik adalah dengan menghidupkan setiap malam sepanjang bulan Ramadan ini sehingga ke hujungnya. Nabi SAW sendiri beriktikaf di masjid sepanjang malam-malam terakhir bulan tersebut, dan jika ada yang mengetahui bilakah Laylat al-Qadr, maka baginda adalah yang paling layak.

Namun Nabi SAW tetap berjaga malam pada kesemua 10 malam terakhir Ramadan untuk beribadah, serta mengejutkan keluarganya bangun dari tidur sebagaimana yang dilaporkan oleh Aishah RA. Dan barangkali itulah objektif terbesar perahsiaan ini, agar manusia berterusan beribadah kepada Tuhannya tanpa mengkhususkan kepada mana-mana hari tertentu.

Sesungguhnya ganjaran yang besar menanti mereka yang menghidupkan malam-malam Ramadan. Di sisi Ibn ‘Abbas, menghidupkan malam bererti menunaikan solat Isha‘ bersama imam serta berazam pula menunaikan solat Subuh berjemaah, sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam karyanya Laṭā’if al-Ma‘ārif. Maka bagi mereka “yang bersolat bersama imam sehingga selesai, maka direkodkan baginya ganjaran seolah-olah dia bersolat sepanjang malam.”

*HILMAN FIKRI AZMAN merupakan pegawai penyelidik di EMIR Research, sebuah badan pemikir yang berfokuskan penyelidikan polisi berteraskan data, ditunjangi nilai-nilai konsultasi, kesederhanaan, inovasi dan kerapian. 

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply