Malaysia negara longgokan sampah-sarap?

Last Updated on

Oleh Rozais al-Anamy

BAGAIKAN mencurah air ke daun keladi, itulah perumpamaan yang boleh menggambarkan sikap segelintir penjenayah yang tidak pernah peduli dengan segala amaran, arahan dan larangan pihak berkuasa. Tanpa memikirkan kesusahan orang lain, mereka yang mementingkan kemewahan hidup ini sanggup menggadaikan kesejahteraan hidup orang awam dan kelestarian bumi yang turut dihuni bersama.

Selang lebih kurang dua bulan daripada malapetaka yang berlaku di Sungai Kim Kim di mana penjenayah pun belum dikenakan tindakan terhadapnya kerana kes masih belum selesai, hari ini rakyat Malaysia digemparkan pula dengan berita kegiatan penyeludupan masuk sisa plastik tercemar yang didalangi pihak tertentu ke negara ini.

Dalam kes pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim di mana orang awam menjadi mangsa bahananya, kita tidak pasti bagaimanakah kehidupan mereka setelah melalui suatu bencana akibat keserakahan orang lain. Pasti mereka kecewa dengan berita terbaharu ini, kerana kes hampir sama – orang awam dan kelestarian bumi terancam dengan aktiviti tidak bermoral oleh segelintir manusia yang mengaut keuntungan duniawi.  

Kedegilan penjenayah ini sangat menyakitkan hati kita di mana kegiatan ini terus berjalan walaupun kerajaan sudah mengharamkan kemasukan sisa buangan itu sejak tahun lalu lagi.

YEO Bee Yin pada sidang media mengenai keputusan COP14 Persidangan Basel ke-14 yang telah berlangsung dari 29 April hingga 10 Mei lepas di Geneva Switzerland di Kementeriannya. – Foto BERNAMA

Terbongkarnya kegiatan ini susulan penemuan 24 kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, yang mengandungi sisa plastik tercemar yang tidak boleh dikitar semula membuktikan kepada kita manusia sanggup meletakkan diri pada tahap yang sangat hina asalkan kehendak nafsu dapat dipenuhi.

Sekaligus, ia menunjukkan wujudnya salah guna kuasa pihak tertentu di pelabuhan tersebut dan integriti yang telah sirna. Mereka menipu dengan mengisytiharkan kandungan kontena hanya mengandungi sisa pepejal bersih, sedangkan ia mengandungi bahan larangan, manakala kontena di pelabuhan Pulau Pinang pula berisikan sisa plastik yang tercemar.

Jika begitu keadaannya, kita sudah dapat mengira harga kesejahteraan hidup yang perlu dibayar oleh semua penghuni bumi untuk hasil yang tidak berbaloi pada penilaian mereka yang mementingkan kualiti hidup. Tidak bersalahkah mereka kepada anak cucu yang mewarisi bumi yang dipenuhi pencemaran udara?

Operasi penguatkuasaan di Westports, Pelabuhan Klang yang diketuai Yeo Bee Yin pada 23 April 2019 melibatkan pemeriksaan ke atas kontena-kontena yang disyaki mengandungi barang dagangan sisa plastik dicemari dengan buangan terjadual. Foto MESTECC

Berpandukan kenyataan yang dikeluarkan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, plastik yang diseludup tersebut adalah daripada jenis yang kotor dan tidak berkualiti selain sukar dilupuskan, dan jika dibakar ia akan mengeluarkan asap hitam.

Walaupun Bee Yin menyatakan bahawa pihak berkuasa akan melakukan operasi di pelabuhan seluruh negara dalam tempoh sebulan, kita harap syarikat pengimportan yang sudah dikenalpasti itu dikenakan tindakan sewajarnya dengan segera atas kerosakan yang dilakukan.

Begitu juga dengan tindakan meminta negara asal yang dikesan menghantar sisa buangan ini seperti China, Sepanyol, United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat, Kanada, Arab Saudi, Jepun, Jerman dan Bangladesh mengambil semula sisa plastik yang ditahan di pelabuhan negara ini dengan mengguna pakai Konvensyen Basel tidak akan berkesan untuk membanteras kegiatan ini kerana konsep penjualan bergantung kepada permintaan.

Walaupun konvensyen tersebut menyatakan negara asal untuk mengambil semula sisa buangan ini serta menanggung semua kos, apalah sangat yang boleh diharap pada orang luar. Mereka mungkin boleh membayar pada kali ini, tetapi jaminan ia tidak berulang bukan bergantung kepada mereka.

Yeo Bee Yin memeriksa salah satu kontena yang mengandungi sisa plastik yang tercemar yang diimport ke Malaysia. Foto BERNAMA

Tindakan proaktif yang sepatutnya ialah membanteras kegiatan pihak pembeli kerana mereka inilah yang menggadaikan semangat patriotik dengan berlaku khianat kepada negara sendiri.

Kerajaan juga perlu lebih bijaksana menyelesaikan masalah ini sehingga ke akar umbi. Jenayah ini bermula dengan kurangnya iman dan nilai moral serta tiada semangat patriotik dalam diri. Ditambah dengan berleluasanya rasuah, penyalahgunaan kuasa, serta sikap bila terhantuk baru terngadah memudahkan kegiatan haram ini aktif.

Sebagaimana laporan media sebelum ini, gesaan supaya kerajaan mengharamkan sepenuhnya import sampah plastik untuk dikitar semula di negara ini bagi mengelak kesan buruk kepada kesihatan awam dan alam sekitar bermula dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik. Sewajarnya kerajaan mendahului tindakan sebegini, bukan hanya bertindak mengikut laporan kerana pencegahan itu lebih berkesan dari usaha menangani setiap malapetaka.

Justeru itu, tidak kira apa latar belakang atau pengaruhnya dalam masyarakat, keadilan wajib ditegakkan. Keselamatan dan kesejahteraan orang awam bukanlah galang ganti kepada kemewahan hidup sesetengah pihak kerana dalam sebuah negara yang mementingkan rahmah kepada sekalian penduduk, menjaga nyawa merupakan salah satu daripada lima prinsip maqasid as-syariah yang wajib dijaga pemerintah.

Justeru itu, tidak kira apa latar belakang atau pengaruhnya dalam masyarakat, keadilan wajib ditegakkan. Keselamatan dan kesejahteraan orang awam bukanlah galang ganti kepada kemewahan hidup sesetengah pihak kerana dalam sebuah negara yang mementingkan rahmah kepada sekalian penduduk, menjaga nyawa merupakan salah satu daripada lima prinsip maqasid as-syariah yang wajib dijaga pemerintah.

Selain itu, kita tidak mahu Malaysia terus terkenal dengan negara pengimport sampah di mana sebelum ini telah banyak sampah-sarap berbentuk hedonisme yang dilambakkan di sini kerana sudah menjadi barang lusuh dan buangan di negara-negara pengimport.

Masyarakat sudah lama dilalaikan dengan hiburan yang sangat asing pada úruf dan budaya setempat seperti rock n roll, heavy metal, black metal serta cara dan gaya hidup Barat yang negatif seperti penglibatan dengan dadah, vandalisme, hubugan seks rambang dan LGBT yang semakin menyerlah kini.

Gaya hidup yang mementingkan keseronokan dan kesenangan ini akan mendorong seseorang melupakan matlamat hidup yang hakiki, seterusnya mudah menerima segala sampah-sarap berbentuk fizikal yang merosakkan diri serta bahan buangan yang menghancurkan rohani.

*ROZAIS AL-ANAMY adalah penulis sastera dan penulis bebas di akhbar, majalah dan portal di Malaysia.

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply