MENGHAMBAKAN DIRI ATAU DIPERHAMBAKAN

Last Updated on

Oleh Dr Yahya Mat Som

SEKALI lagi dunia dikejutkan dengan tindakan keganasan yang melampaui batas.

Pada pertengahan bulan Mac 2019, 50 orang umat Islam yang sedang menunggu solat Jumaat dibunuh dengan kejam di New Zealand. Kejadian yang lebih dasyat pula berlaku pada pertengahan bulan April di Sri Lanka apabila beberapa gereja dan hotel dibom yang mengakibatkan lebih daripada 250 orang terkorban.

Bilakah kegilaan seperti ini akan berhenti?

Memang sukar untuk difahami oleh orang yang berfikiran waras bagaimana individu dan kumpulan ini berselera melakukan pembunuhan tanpa rasa perikemanusiaan terhadap orang awam.

Adakah si pembunuh pernah menjadi mangsa kepada orang-orang yang mereka bunuh? Setakat hari ini, tiada tanda-tanda yang membuktikan demikian. Sebaliknya mereka sanggup meragut nyawa hanya kerana dipengaruhi oleh perasaan dendam yang amat mendalam akibat dari mengagungkan kumpulan atau individu secara keterlaluan.

Ideologi White Supremacy merupakan antara punca berlakunya keganasan terutamanya di negara barat.

Secara umum, menghambakan diri membawa maksud sikap patuh dan tunduk kepada seseorang atau kumpulan secara sukarela tanpa sebarang keraguan, syak dan penentangan. Sementara diperhambakan dapat diertikan sebagai tindakan menurut perintah kerana takutkan tindakan, hukuman atau kehilangan sesuatu keistimewaan.

Ada orang yang berasa puas dan megah memperhambakan diri untuk menjadi alat kepada sesuatu pihak walaupun ia sedar perbuatannya tidak bermoral.

Ada orang yang sedar ia sedang diperhambakan, tetapi ia tidak mahu atau mampu keluar dari ikatan tersebut kerana takut atau tidak selesa berbuat demikian.

Sejak 1,400 tahun lalu, Nabi Muhammad SAW telah membawa sinar dan syiar Islam untuk membebaskan manusia dari menghambakan diri dan diperhambakan oleh makhluk ciptaan Allah SWT. Islam hanya mengajar umatnya untuk tunduk kepada Ar-Rab yang Maha Agung dan patuh kepada peraturan kehidupan yang telah ditentukan-Nya.

Namun, apabila syiar Islam disentuh oleh tangan-tangan manusia yang rakus, sedikit demi sedikit ia berubah tanpa disedari.

Syiar Islam yang suci sering dimesrakan dengan unsur-unsur kepentingan peribadi. Ayat-ayat al-Quran dijadikan dalil untuk menghalalkan matlamat keduniaan. Hadis-hadis dijadikan sandaran untuk mengharmonikan nafsu dan kepincangan.

Malah, ada yang sombong dan megah menawarkan peraturan agama ciptaan sendiri dan memaksa umat Islam untuk menerimanya sebagai syariat Islam. Bagi mereka, siapa Tuhan adalah tidak penting. Mungkinkah mereka bertuhankan nafsu amarah yang membuak dalam diri?

Allah swt menjanjikan azab yang pedih buat golongan yang menggunakan agama bagi menghalalkan matlamat keduniaannya.

Pada zaman keagungan Islam, setiap bidang ilmu, budaya, ekonomi, dan sistem pengurusan dan pentadbiran berjaya disucikan.

Hasilnya, negara menjadi makmur, kehidupan rakyat sejahtera dan masyarakat yang berbilang kaum dapat hidup secara harmoni.

Kesaksamaan dan keadilan terpancar di serata tempat, dan tidak ada manusia yang diperhambakan untuk menjaga kepentingan mana-mana pihak.

Begitulah hebatnya suntikan al-Quran dan hadis yang disepadukan dalam setiap bidang kehidupan. Maka, lahirlah generasi bersikap ihsan dan berakhlak mulia yang hanya memperhambakan diri semata-mata kepada Allah SWT.

Sekali pandang umat Islam di Malaysia memang hebat. Pengaraban pakaian dan budaya kehidupan sudah menjadi new normal, malah ia telah mencabar kehidupan kebaratan.

Individu dan kumpulan sekular dan liberal gusar dengan perkembangan ini, tetapi ia amat diraikan dengan penuh optimis oleh golongan konservatif.

Di sebalik budaya dan kehidupan luaran yang melambangkan keislaman, kekeliruan pemikiran dan kesucian jiwa mengenai konsep sebenar kesyumulan Islam masih dapat dirasai dengan jelas di segenap kehidupan.

Seolah-olah syariat dan budaya kehidupan Islam hanyalah sebagai trend terkini dan flavor of the month. Penghayatan akhlak dan roh Islam masih bertempel-tempel dan compang-camping.

Taksub terhadap ideologi, individu atau kumpulan tanpa pertimbangan ‘benar dan salah’ akan menjerumuskan seseorang ke lembah kebinasaan.

Ada pemimpin politik yang bersaing untuk menunjukkan keislaman mereka, sedangkan yang diperjuangkan adalah untuk mengekalkan populariti, mencari pengaruh dan berebut kuasa.

Ada para intelek dan cendekiawan yang sibuk menghambakan diri kepada kumpulan dan pemimpin yang diikuti dan disanjungi.

Kesilapan dan kesalahan bukan lagi perkara haram yang perlu dicegah, tetapi ia perlu dineutralkan agar makhluk kesayangannya sentiasa relevan dan menjadi idaman.

Ada penceramah agama sibuk menyolek hujah-hujah mereka dengan ayat-ayat al-Quran dan hadis seperti penjual minyak angin di pasar malam. Pertaruhan mereka terletak kepada betapa tebal make-up yang dikenakan untuk mencandui pendengar.

Di mana roh memperhambakan diri kepada Allah SWT jika diri sudah rela diperhambakan makhluk ciptaan-Nya?

*Dr Yahya Mat Som adalah pakar dalam bidang Pembangunan Personal dan Profesional (Cognitive Dissonance Psychology)

PENAFIAN:

Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply