Ujian ‘unik’ syarikat di Australia ambil pekerja baharu

Last Updated on

Calon temuduga yang gagal ‘ujian cawan kopi’ di sebuah syarikat di Australia tidak akan diambil bekerja. – Gambar hiasan

HAWTHORN – Seorang bos di sebuah firma perisian perakaunan di Australia berkongsi ujian mudah yang digunakannya ketika mengendalikan temuduga pengambilan pekerja baharu.

Laporan agensi berita yang dipetik Sinar Harian menyebutkan Trent Innes dari syarikat Xero Australia tidak akan mengambil calon pekerja yang gagal ‘ujian cawan kopi’ kerana percaya ujian tersebut menyerlahkan sikap sebenar seseorang.

Malah sesiapa yang gagal ujian tersebut akan disenarai hitam dari syarikat terbabit.

Bercakap dalam satu temuramah, Innes berkata, sebelum menjalankan sesi temuduga dia akan membawa calon ke ruangan dapur di pejabatnya di mana minuman (selalunya kopi) akan disediakan.

“Kemudian kami akan membawa minuman tersebut ke bilik temuduga dan di hujung sesi saya akan melihat sama ada calon akan membawa kembali cawan kosong tersebut ke dapur.

“Kemahiran boleh diasah, ilmu pengetahuan juga boleh dipelajari namun sikap yang baik adalah lebih mustahak.

“Di syarikat ini kami mengamalkan konsep ‘basuh cawan kopi anda’,” kata Innes sambil menambah disebabkan konsep tersebut pejabatnya terutama ruangan dapur sentiasa bersih.

Menurut Innes, ‘ujian cawan kopi’ itu bertujuan memastikan calon pekerja yang layak dapat menyesuaikan diri dengan budaya dalaman syarikat dan memberikan yang terbaik.

Leave a Reply