Demam campak punca kematian suku Bateq – KKM

Last Updated on


Punca kematian misteri penduduk Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang kini terjawab. GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan punca sebenar kematian penduduk Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang adalah kerana penularan wabak demam campak disebabkan kekurangan imunisasi.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pengesahan itu dibuat berdasarkan hasil ujian makmal yang dilaksanakan.

Menurut beliau, sehingga 15 Jun, ujian makmal mengesahkan 37 kes daripada 112 kes termasuk dua kematian yang dilaporkan adalah kerana demam campak.

“Kekurangan zat makanan juga menyumbang kepada risiko jangkitan dan kejadian komplikasi, ” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini, sebagaimana laporan Sinar Harian.

Antara faktor utama wabak ini merebak di perkampungan itu ialah liputan imunisasi MMR yang sangat rendah iaitu 61.5 peratus bagi dos pertama dan 30 peratus bagi suntikan dos kedua.

Dos imunisasi yang sepatutnya diberikan kepada bayi sewaktu berusia 9 bulan dan 12 bulan sukar dilaksana kerana suku Bateq kerap berpindah randah.

Beliau juga menerangkan, komplikasi jangkitan demam campak termasuk pneumonia, cirit-birit, keradangan otak (encephalitis), otitis media dan kematian berlaku terutama kepada bayi, kanak-kanak, serta individu yang mengalami kekurangan zat makanan dan tahap imuniti yang rendah.

Dr Dzulkefly menjelaskan, virus demam campak itu mudah merebak melalui titisan cecair pernafasan di udara dan sentuhan dengan cecair pernafasan daripada orang yang dijangkiti.

Justeru itu, menurutnya KKM telah menjalankan beberapa tindakan pencegahan dan kawalan wabak di perkampungan orang asli tersebut. Antaranya ialah dengan melakukan carian kes secara aktif di perkampungan itu dan sekitarnya untuk memberi Vitamin A kepada kanak-kanak yang dirawat kerana demam campak.

Semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) diarahkan meningkatkan pengawasan jangkitan demam campak dan meningkatkan liputan imunisasi kepada orang asli di negeri masing-masing.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu terus memantau perkampungan Kuala Koh untuk memastikan tiada pihak luar yang tidak berkenaan memasuki kawasan itu bagi mengelak penularan jangkitan.

Pengesahan KKM ini sekaligus menafikan dakwaan pada peringkat awal siri kematian itu yang mengesyaki ia berpunca daripada air yang digunakan penduduk berhampiran satu lombong mangan.

Ujian oleh Jabatan Alam Sekitar ke atas sampel air tersebut bagaimanapun dilaporkan bebas dari pencemaran.

Sebanyak 12 jasad yang dikebumikan secara adat Orang Asli di dalam hutan sebelum ini telah berjaya dibawa keluar untuk bedah siasat.

Leave a Reply