Bukan Islam tidak wajar beri pandangan Pendidikan Islam

Last Updated on


Tan Sri Dr Harussani Zakaria

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk membuka ruang kepada semua warganegara tanpa mengira agama bagi memberi pandangan berkaitan mata pelajaran Pendidikan Islam bukanlah suatu tindakan yang wajar.

Ini kerana orang bukan Islam tidak memiliki kefahaman mengenai hukum dan peraturan agama Islam seperti penganutnya, kata Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

“Mereka (orang bukan Islam) akan lebih cenderung memberi pandangan berdasarkan akal dan kepentingan diri semata-mata, sedangkan mengikut tradisi dan falsafah pendidikan Islam, bersumberkan hukum daripada al-Quran dan Sunnah serta sumber-sumber yang disepakati oleh para ulama.

“Jadi saya ingin menegaskan bahawa adalah sangat tidak wajar membuka ruang kepada semua warganegara tanpa mengira agama memberi pandangan berkaitan mata pelajaran Pendidikan Islam,” katanya dalam satu kenyataan, di Ipoh hari ini sebagaimana dipetik Sinar Harian.

Selain itu, penglibatan bukan Islam itu juga dikhuatiri akan menimbulkan lebih banyak pertentangan pendapat berhubung ajaran Islam yang sebenar.

Beliau juga menyarankan usaha penambah baikan ini juga sepatutnya diperluaskan kepada mata pelajaran yang lain seperti Bahasa Melayu, Sejarah dan lain-lain, bukan setakat Pendidikan Islam sahaja.

Ini bagi memberi kefahaman yang maksimum kepada pelajar berbilang kaum, sekaligus dapat meningkatkan kualiti pendidikan negara dan memupuk perpaduan nasional.

Walaupun menyokong usaha kerajaan menambah baik sukatan mata pelajaran Islam, beliau menegaskan bahawa usaha tersebut mestilah dilakukan tanpa mengurangkan silibus mata pelajaran Pendidikan Islam yang sedia ada, selain kajiannya dijalankan oleh ahli yang berkelayakan.

Sebelum ini heboh di media, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira kaum dan agama untuk memberi pandangan serta idea kepada pasukan khas bagi meneliti isu-isu melibatkan subjek Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan.

Leave a Reply