Duta Amerika rasmikan terowong bawah tanah di Baitulmaqdis

Last Updated on

BAITULMAQDIS, 1 Julai — Duta Amerika di Baitulmaqdis, David Friedman, dan wakil Presiden Amerika ke Timur Tengah, Jason Greenblatt, semalam merasmikan pembukaan terowong bawah tanah yang digelar sebagai “laluan penziarah Yahudi” yang merentasi perkampungan Silwan di Kota Lama Baitulmaqdis.

Dalam majlis yang dianjurkan oleh pertubuhan Elad itu, Friedman memecahkan dinding sekaligus membuka terowong, dengan disaksikan oleh isteri pemimpin Zionis, Sara Netanyahu.

Elad adalah pertubuhan pendatang Yahudi yang ditugaskan mengurus kawasan Kota Lama Baitulmaqdis dan sekitarnya.

Sebelum ini, sejumlah pegawai Amerika telah melawat terowong “laluan penziarah” tersebut, tetapi melakukannya secara rahsia tanpa pengetahuan pihak berkuasa Zionis.

Terowong berdekatan Pintu al-Maghareba di Masjid al-Aqsa itu merupakan penggalian arkeologi terbesar yang berlangsung selama enam tahun, hasil kerjasama Elad dan agensi-agensi Zionis.

Pendatang Yahudi mendakwa laluan tersebut berasal dari zaman yang mereka anggap sebagai “Era Kuil Kedua”.

Penduduk Silwan selama ini mengadu masalah keretakan dan kerosakan struktur rumah akibat kerja-kerja penggalian tersebut.

Insiden tanah rumtuh turut berlaku pada musim sejuk yang lalu.

Sekitar 20,000 penduduk Palestin tinggal di Silwan. Mereka tidak diberikan hak kerakyatan dan kebebasan bergerak, dan sering menjadi sasaran kolonisasi pendatang Yahudi. – Haluan Palestin

Leave a Reply