Budak merogol salah siapa?

Last Updated on

Oleh Rozais al-Anamy

KUALA LUMPUR – Kes budak berusia 12 tahun merogol kanak-kanak berusia empat tahun di Taman Sri Wangsa, Batu Gajah bukan berlaku tiba-tiba, tetapi ia adalah kesan daripada pengabaian dari sebuah didikan yang panjang.

Perlakuan itu adalah kemuncak kerosakan sahsiah tanpa sedar seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa keadaan.

Suspek yang merupakan murid Tahun Enam dan telah ditahan polis itu disyaki sudah melakukan perbuatan itu terhadap mangsa sebanyak tiga kali sejak awal Ramadan lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri menyatakan suspek disyaki melakukan perbuatan itu akibat terangsang melihat video dalam telefon bimbit.

Keselamatan kanak-kanak semakin terabai oleh kelalaian ibu bapa sendiri. GAMBAR HIASAN

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) laman web lucah berada di kedudukan nombor satu paling tinggi yang disekat bermula awal tahun hingga Oktober 2017, iaitu sebanyak 2,684 laman pornografi.

Kita mungkin melabelkan negara yang menghalang penggunaan media sosial sebagai kolot, namun kadangkala langkah mencegah adalah lebih baik daripada mengubat, di mana manusia sering alpa dan sering cenderung untuk mencuba sesuatu yang dilarang agama atau peraturan.

Jika orang dewasa pun banyak terlibat dengan penyalahgunaan internet, apatah lagi dengan anak-anak yang masih belum arif menilai baik dan buruk penggunaannya.

Ini kerana mengikut statistik, sehingga tahun 2017 sebanyak lima kes rogol kanak-kanak berlaku setiap hari di negara ini dengan 13,272 kes dilaporkan sejak tahun 2010 lagi. Kes jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun adalah sebanyak 7 peratus daripada keseluruhan jenayah seksual itu.

Majoriti mangsa seksual pula sebanyak 86 peratus mengenali suspek penjenayah berbanding mangsa yang tidak mengenali suspek, iaitu 14 peratus.

Kajian Malaysians Against Pornografi (MAP) pada 2018 mendedahkan data kira-kira 80 peratus kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 tahun telah menonton pornografi secara sengaja. GAMBAR HIASAN

Dalam kes suspek ini, permulaan masalahnya ialah sifat ingin mencuba, diikuti oleh keinginan melakukannya lebih dari sekali. Kemudiannya ia mewujudkan suatu kebiasaan atau normalisasi, yang akhirnya membawa ketagihan. Mungkin dalam usia seawal 12 tahun ini, dia sendiri tidak faham perlakuannya itu, tetapi hanya ingin meniru dan mencuba apa yang dilihatnya.

Bagi suspek yang masih belum ‘panjang langkahnya’, dia menterjemahkan apa yang ditontonnya kepada mangsa yang paling dekat dengan hubungan dan jarak dengannya. Mangsa adalah anak asuhan ibu suspek. Manakala bagi remaja yang berusia lebih 13 tahun, mereka melakukannya dengan kenalan yang ditemui melalui aplikasi seperti WeChat, Facebook, Beetalk dan banyak lagi.

Menurut Mohd Fadhli Othman, penceramah modul “Goodbye Pornography” dan PLF Sexual Education For Parents menyatakan, permulaan ketagihan inilah yang akan mendorong seseorang itu untuk memuaskan nafsu sendiri melalui pelbagai cara termasuk onani dan sebagainya.

Mohd Fadhli Othman

Bermula dengan ketagihan yang tidak melibatkan orang lain, ia akan membesar kepada jenayah yang lebih besar, seperti merogol atau melakukan perkara yang bertentangan moral dan agama apabila tahap ketagihan pertama tidak dibendung.

Dibimbangi jika kurang pengawasan, lama kelamaan anak-anak ini membesar melalui proses normalisasi, di mana mereka fikir tindakan yang menghasilkan keseronokan itu adalah sesuatu yang tidak salah dan tidak memberi kemudaratan kepada masa depan.

Dalam banyak perkara, kesalahan yang telah dinormalisasi ini menjuruskan kepada perubahan nilai dalam sesuatu masyarakat, di mana dalam kes ini, perbuatan tidak bermoral akan dinilai sebagai perkara biasa apabila ia telah diterima masyarakat.

Dalam banyak perkara, kesalahan yang telah dinormalisasi ini menjuruskan kepada perubahan nilai dalam sesuatu masyarakat, di mana dalam kes ini, perbuatan tidak bermoral akan dinilai sebagai perkara biasa apabila ia telah diterima masyarakat.

Jelas Fadhli lagi, menurut satu kajian, 90 peratus apa yang dilihat oleh anak di bawah umur tujuh tahun melalui gadget akan tersimpan di dalam otak depannya atau lebih dikenali dengan pre frontal cortex (PFC).

Fungsi PFC ialah memikirkan sesuatu yang relevan, rasional atau yang melibatkan kemahiran berfikiran aras tinggi. Maka, sekiranya berlaku perubahan sikap yang mendadak seperti sikap anak yang beradab kepada degil melampau, ibu bapa digesa supaya bertindak segera menyemak apa yang mereka layari di internet.

Beliau juga menyimpulkan ketagihan pornografi sebagai suatu penyakit otak yang disebut sexual disorder-paraphilia, dan mereka yang terlibat memerlukan rawatan daripada pakar psikiatri dan psikologi dari unit hospital yang pakar dalam bidang ini.

Berbalik kepada kes rogol juvana tersebut, yang patut dipertanggung jawabkan dalam hal ini ialah ibu bapa kerana merekalah orang yang paling dekat dengan anak-anak. Kebebasan menggunakan internet tanpa batasan dan pengawasan seumpama bom jangka yang menunggu masa akan meletupkan sahsiah anak mereka. Hadith sudah mengingatkan, anak-anak umpama kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya.

Selain itu, sewajarnyalah tindakan menyekat akses ke laman porno dan mengadakan promosi untuk menyekat akses yang dilakukan oleh kerajaan selama ini dipertingkatkan lagi penguatkuasaannya, tanpa takut dan memilih bulu.

Pendidikan sahaja tidak cukup untuk menangani masalah yang semakin membarah ini, justeru itulah tindakan undang-undang secara menyeluruh wajib dikenakan kepada mereka yang merosakkan masyarakat secara tidak langsung dalam keghairahan mengaut keuntungan.

Leave a Reply