Kumpul kilang berisiko di satu lokasi – Zuraida

Last Updated on

Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Semua kilang berkaitan bahan kitar semula dan berisiko menyebabkan pencemaran akan ditempatkan di satu lokasi sama mulai tahun depan bagi memudahkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, di Putrajaya semalam.

“Menjelang 2020, saya mencadangkan satu pusat perindustrian setempat yang menempatkan semua kilang berkaitan kitar semula dan kilang seumpamanya di lokasi yang sama supaya mudah kita pantau dan ambil tindakan,” katanya, seperti dipetik Berita Harian.

Menerusi sistem pengasingan itu, semua kilang kitar semula sedia ada akan dipindahkan ke lokasi baharu. Setiap negeri akan mempunyai sekurang-kurangnya dua zon perindustrian yang menempatkan kilang itu dengan jenis industri lain.

Menurutnya lagi, proses itu akan dilaksanakan melalui satu pindaan ke atas akta sedia ada.

Selain itu, kawasan seluas antara 40 hingga 80 hektar untuk dijadikan kawasan perindustrian setempat sudah dikenal pasti untuk membolehkan semua kilang lama dipindahkan ke kawasan itu.

Pihaknya juga mahu tindakan yang lebih tegas dikenakan terhadap kilang yang beroperasi secara haram dan menggesa semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang menjaga portfolio PBT mengambil tindakan yang tegas terhadap kilang haram bagi memastikan alam sekitar tidak tercemar.

Kilang haram ini akan disita dan dibawa ke mahkamah berbanding tindakan sebelum ini hanyalah, kompaun RM 300 daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), jelas beliau lagi.

Pihaknya juga telah meminta Menteri Besar Johor menubuhkan jawatankuasa khas yang turut disertai PBT dan Pejabat Tanah dan Galian untuk menangani isu kilang haram di Pasir Gudang.

Pasir Gudang mengalami masalah pencemaran udara, dua kali dalam masa lebih kurang tiga bulan antara Mac dan Jun tahun ini, kesan sisa toksik dipercayai dari kilang industri.

Ribuan penduduk mendapatkan rawatan kesihatan manakala terpaksa sekolah ditutup sementara.

Leave a Reply