Anggota pengasas AKP letak jawatan, mahu tubuh parti baharu

Last Updated on

Ali Babacan meletak jawatan daripada parti AKP dan dilaporkan mahu menubuhkan parti sendiri. – Foto Sinar Harian

ANKARA, 9 julai – Bekas Menteri Ekonomi Turki, Ali Babacan meletak jawatan daripada parti pemerintah semalam, lapor media Turki sekali gus memberi tamparan hebat kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Dalam kenyataan mengkritik hala tuju kerajaan, Babacan, seorang anggota pengasas Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) memetik perbezaan mendalam berhubung dasar dan berkata Turki memerlukan ‘visi baharu’.

Babacan dianggap ahli politik liberal yang menjamin dasar ekonomi munasabah ketika memegang jawatan sebagai menteri ekonomi pada tahun 2002 hingga 2007.

“Sejak beberapa tahun lalu, timbul perbezaan mendalam berkaitan langkah yang diambil dalam pelbagai bidang dan prinsip, nilai serta idea yang saya percaya,” kata Babacan menurut laman HaberTurk.

“Dalam situasi kini, Turki memerlukan visi baharu untuk masa depan,” katanya sambil menyeru pelaksanaan ‘strategi, pelan dan program baharu’.

Dalam pada itu, halaman rasmi beliau di laman web Parti AKP sebagai anggota pengasas tidak lagi wujud.

Terdapat spekulasi bahawa Babacan akan menubuhkan parti politiknya sendiri dan sesetengah laporan media Turki mengatakan beberapa ahli parlimen AKP berkemungkinan akan menyertai beliau.

Babacan dilihat mengesahkan khabar angin tersebut dengan menyatakan ‘usaha baharu’ tidak dapat dielakkan demi masa depan Turki.

“Saya dan ramai lagi rakan berasa bertanggungjawab untuk memulakan usaha ini,” katanya sambil menambah beliau tidak boleh terus menjadi ahli AKP.

Sementara itu, media Turki melaporkan bekas presiden dan pengasas bersama AKP, Abdullah Gul mungkin akan turut serta dalam parti baharu di bawah Babacan.

Bagaimanapun, Babacan mahupun Gul tidak memberi komen berhubung khabar angin tersebut.

Sinar Harian yang memetik laporan AFP menyebutkan Abdulkadir Selvi, seorang kolumnis pro-kerajaan akhbar harian Hurriyet, minggu lepas menulis, Babacan bertemu Erdogan pada 30 Mei lalu dengan hasrat untuk meletak jawatan namun mengambil keputusan tidak berbuat demikian berikutan pilihan raya datuk bandar Istanbul yang diadakan pada 23 Jun.

Selvi berkata, Babacan memberitahu Erdogan bahawa beliau merancang untuk meletak jawatan dan menubuhkan sebuah parti.

Parti AKP tewas dalam undian semula di Istanbul bulan lalu dengan lebih 800,000 undi susulan kekalahan awal pada 31 Mac lalu.

Leave a Reply