Nyawa kanak-kanak Syria tiada harga

Last Updated on

Oleh Razali Awang
(Media Syria Care)

SYRIA – Sekurang-kurangnya 130 kanak-kanak Syria terbunuh sejak 26 April 2019 hingga minggu pertama Julai 2019.

Mereka antara 544 orang awam yang menjadi korban keganasan serangan berterusan yang dilancarkan tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya, Rusia di utara Syria, terutama di Idlib.

“Tentera Rusia dan sekutunya, Syria dengan sengaja menjadikan orang awam sebagai sasaran dan sejumlah kemudahan perubatan telah dibom,” kata Pengerusi Syrian Network for Human Rights (SNHR) Fadel Abdul Ghany.

Khamis lepas, sebuah hospital di Kafr Nabl menjadi sasaran ke-30 serangan udara ke atas pusat kemudahan perubatan.

Pertubuhan kemanusiaan memberi amaran yang Idlib berada di ambang bencana di mana lebih kurang sejuta kanak-kanak berada dalam keadaan berisiko. FOTO SYRIA CARE

The Guardian dalam laporannya menjelaskan, serangan menggunakan bom kluster dan senjata terlarang dibuat dengan niat untuk melumpuhkan kehidupan seharian penduduk di kawasan berkenaan sehinggaa menyebabkan berpuluh perkampungan dan bandar musnah.

Kesan akibat serangan sejak dua bulan lepas ke atas Idlib disifatkan sebagai kempen paling teruk selepas wilayah itu jatuh sepenuhnya ke tangan kumpulan penentang Bashar pada 2015.

“Seluruh kampung dan bandar telah kosong,” kata jurucakap White Helmets, Ahmad al Sheikho.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pengeboman tanpa henti menyebabkan sekurang-kurangnya 300,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dan kini berlindung di kawasan berhampiran sempadan Syria-Turki bagi menyelamatkan nyawa.

Bulan lepas, 11 pertubuhan kemanusiaan memberi amaran yang Idlib berada di ambang bencana di mana lebih tiga juta orang awam termasuk sejuta kanak-kanak berada dalam keadaan berisiko.

Leave a Reply