Budak membunuh – Perang emosi?

Last Updated on

Oleh Rozais al-Anamy

KUALA LUMPUR – Pembunuhan sadis melibatkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun bersama teman lelakinya, 15 tahun di Taman Glenview, Kamunting, Taiping berkemungkinan berpunca daripada kegagalan mengawal emosi dan bertindak di luar batasan.

Menurut pakar psikologi Universiti Malaya, Profesor Datin Dr Mariani Md Nor, suspek boleh dikategorikan sebagai remaja berisiko yang tidak ada rasa kebergantungan langsung terhadap ibu bapa sehingga membolehkan mereka melakukan sesuatu tanpa memikirkan kesan buruk ekoran dari tindakannya itu.

Golongan seperti ini kebanyakannya membesar dengan kurang kasih sayang dan berada di luar kawalan ibu bapa yang menjurus kepada kehilangan rasa kebergantungan dan perkongsian kepada mereka atau orang yang lebih dewasa.

Sifat mereka ini dicirikan dengan melakukan tindak tanduk yang kaku, iaitu tidak berfikir panjang dan hanya mengikut desakan emosi yang meluap-luap.

Dr Mariani. FOTO UTUSAN

“Sesuatu tindakan tanpa kawalan emosi mampu mencetuskan tragedi yang lebih besar walaupun disebabkan oleh perkara kecil,’’ jelas Dr Mariani kepada TV AlHijrah ketika ditemubual di Universiti Malaya, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian bunuh oleh remaja tersebut gara-gara pertelingkahan kerana sebuah telefon. Remaja itu bersama teman lelakinya membunuh abang sendiri, membungkus dan meletakkan mayat mangsa di belakang sebuah rumah kosong, Ahad lalu.

Selain faktor dalaman diri, pengaruh luaran seperti permainan video dan media sosial turut menyumbang kepada keganasan remaja yang gemar meniru setiap apa yang ditonton, kata beliau lagi.

Justeru itu beliau menyarankan agar ibu bapa terus membimbing anak-anak kerana perubahan emosi anak-anak akan berlaku seiring dengan peningkatan umur mereka. Ini bagi meningkatkan kecerdasan emosi (EQ) dalam usaha membuat pertimbangan yang baik.

“Sebab itu apabila di peringkat sekolah kita ada ko-kurikulum, tidak lain tidak bukan tujuannya ialah bagi memastikan mereka menguasai kemahiran hidup yang sebenar”, jelas beliau.

Remaja perlu diajar pelbagai kemahiran hidup, khususnya kemahiran mengendalikan diri seperti menguasai kemarahan melalui aktiviti yang disediakan di sekolah. Dalam menjalani aktiviti ini, guru atau kawan-kawan bertindak sebagai pemerhati yang akan memberi nasihat dan sokongan bagi menerapkan sifat murni seperti sentiasa tenang, tidak meninggi diri dan menerima kekalahan dalam hidup.

Anggota forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak memeriksa penemuan barangan dipercayai milik mangsa yang ditemui di belakang sebuah rumah kosong di Taman Glenview, Kamunting, Taiping, Ahad lalu. FOTO BERNAMA

Pada usia meningkat remaja inilah ibu bapa perlu memainkan peranan penting dan mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu berkaitan pendidikan remaja. Remaja tidak boleh lagi dianggap anak-anak kecil yang hanya perlu menerima arahan, kerana mereka sudah mempunyai kebolehan berfikir dan pilihan sendiri.

Sebaliknya ibu bapa bertindak penasihat kepada pilihan anak-anak itu setelah berjaya meraih kepercayaan mereka sehingga remaja berasa kehadiran ibu bapa mereka bukanlah sebagai “pengawas’’ kehidupan, tetapi sebagai pakar rujuk mereka.

Pada tahap ini remaja akan menjadi akrab dan percaya kepada ibu bapa sebagai penyuluh hidup mereka berpandukan pengalaman yang telah dilalui.  

Selain kerana ketidakstabilan emosi yang mendorong remaja terlibat dengan jenayah, sistem pendidikan yang melencong dari matlamatnya juga akan menghasilkan generasi yang rapuh jati diri dan sahsiahnya.

Seharusnya keseimbangan dalam mencapai kejayaan akademik perlulah diselarikan dengan pencapaian sahsiah diri melalui didikan emosi yang baik. Ini hanya boleh dihasilkan oleh pendidikan yang memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Ini kerana matlamat sebenar pendidikan ialah melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Leave a Reply