RUU Guaman Syarie angkat profesion guaman syarie

Last Updated on

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Profesion Guaman Syarie (Wilayah Persekutuan) 2019 yang dibentangkan kali pertama Selasa lalu merupakan satu langkah penting ke arah meningkatkan profesionalisme guaman syarie negara ini.

Pengerusi IKRAM Legal,  Marwan Abdullah menegaskan,  peranan guaman syarie selaku profesion yang penting membantu Mahkamah Syariah memberikan keadilan berasaskan syariah,  ia sepatutnya sudah lama diiktiraf di sisi undang-undang.

“IKRAM Legal percaya kualiti peguam syarie akan lebih meningkat sekaligus mengangkat martabat institusi kehakiman Syariah dan memberikan keyakinan rakyat kepadanya khususnya dengan kewujudan peruntukan-peruntukan berkenaan Lembaga Kelayakan Profesion Guaman Syarie, penubuhan Badan Peguam Syarie dan Majlis Peguam Syarie yang tidak ada sebelum ini,”  kata  Marwan dalam satu kenyataan semalam.

Selasa lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof telah membentangkan RUU Guaman Syarie 2019 untuk bacaan kali pertama. RUU itu akan menjadi undang-undang mentadbir dan menyelia profesion guaman syarie khususnya di Wilayah Persekutuan.

Marwan yakin dengan tergubalnya RUU Guaman Syarie ini, profesion guaman syarie akan mempunyai undang-undang khusus bagi mengawal selia amalan profesion guaman syarie sepertimana profesion guaman sivil yang telah terlebih dahulu mempunyai Akta Profesion Undang-Undang 1976.

Beliau berharap RUU Guaman Syarie ini dapat dibahaskan dengan lancar semasa sesi perbahasan di Parlimen dan seterusnya diterima menjadi undang-undang ke arah memberi nafas baru kepada profesion guaman syarie dan institusi kehakiman Syariah dalam negara ini.

Untuk jangka masa panjang Marwan percaya RUU Guaman Syarie ini akan menjadi pembuka jalan ke arah penyeragaman dan penyelarasan undang-undang Syariah antara negeri-negeri.

Leave a Reply