Kerajaan perlu pertahan hak nelayan dan alam sekitar

Last Updated on

Oleh Hilman Fikri Azman

SEKUMPULAN nelayan dari Pulau Pinang dan Perak berhimpun di Parlimen semalam bagi menyampaikan memorandum bantahan projek penambakan pulau di utara tanah air.

Minggu lalu, Jabatan Alam Sekitar telah meluluskan projek tersebut yang tergendala sejak tahun 2015.

Sebelumnya Pulau Pinang menyatakan hasrat untuk membina satu jaringan pengangkutan moden merangkumi infrastruktur seperti lebuh raya, terowong, LRT, BRT dan tram.

Projek yang sebagai Penang Transport Master Plan (PTMP) ini diharapkan dapat mengatasi masalah kesesakan yang sudah sekian lama berlarutan di negeri ini.

Sekumpulan nelayan dari Pulau Pinang dan Perak berhimpun di Parlimen semalam bagi menyampaikan memorandum bantahan projek penambakan pulau di utara tanah air. FOTO FB: PENANG TOLAK TAMBAK

Namun penyelesaian PTMP yang dicadangkan itu kelihatan tidak mampan kerana kosnya yang begitu mahal iaitu RM46 bilion, meletakkannya yang termahal dalam sejarah Malaysia.

Kerajaan negeri yang mencadangkannya dikatakan tidak mempunyai dana yang cukup sehingga terpaksa mencari dana yang lain untuk menampungnya.

Antara cara untuk menjana kewangan adalah dengan mewujudkan ruang pelaburan baru. Mereka melihat projek penambakan pulau ini antara ruang pelaburan baru yang paling ideal untuk tujuan ini.

Menambak pulau mempunyai prospek keuntungan yang besar kerana ia secara asasnya akan meluaskan tanah untuk pembangunan.

Setiap binaan yang dibangunkan di atasnya akan menjadi lebih mahal, seterusnya memberikan keuntungan tambahan kepada kerajaan negeri di samping menjadi pelaburan jangka masa panjang buat mereka.

Rancangan kerajaan negeri untuk menambak tiga buah pulau. FOTO THE GUARDIAN 

Maka secara asasnya, projek penambakan di selatan Pulau Pinang (PSR) adalah wasilah untuk membiayai projek PTMP. Sekiranya kerajaan negeri sudah mempunyai kewangan yang cukup untuk melaksanakan projek mega PTMP ini, kebarangkalian untuk projek PSR dibawa ke meja mesyuarat adalah lebih rendah.

Sebab itu dikatakan prinsip kemampuan (istita‘ah) sebelum melakukan sesuatu itu penting, agar kita tidak terpaksa memikirkan jalan mudah yang tidak sahih untuk mendapatkan wang lantaran ketidakmampuan kita.

Dan saat elemen yang melatari keputusan kita bersifat utilitarian, maka tentu sahaja apa jua jalan yang menjanjikan keuntungan dipilih, meskipun ia memudaratkan manusia dan alam sekitar.

PSR yang akan memakan keluasan laut sehingga 4,500 ekar itu pasti melenyapkan sepenuhnya kawasan perikanan di sekitar Teluk Kumbar dan selatan pulau yang telah menjadi sumber pergantungan para nelayan selama ini.

Kira-kira 1,500 kaum nelayan kecil bakal terjejas dengan projek penambakan ini.

Purata pendapatan kasar nelayan adalah sekitar RM1,989.50 sebulan. Ia merupakan jumlah yang amat kecil terutama jika mereka menyara keluarga.

Adakalanya mereka turun ke laut dan kembali dengan tangan kosong. Ini tidak termasuk terpaksa berhadapan dengan faktor cuaca yang tidak mengizinkan meraka ke laut.

PSR akan memakan keluasan laut sehingga 4,500 ekar sekaligus melenyapkan sepenuhnya kawasan perikanan di selatan pulau. FOTO THE GUARDIAN 

Sekiranya tanpa penambakan pun mereka telah menjalani hidup yang secara relatifnya susah, bayangkan sekiranya penambakan yang akan merampas punca rezeki mereka ini diteruskan.

Bukan sekadar suatu kezaliman ke atas kaum nelayan, tetapi juga kemudaratan buat sektor perikanan setempat.

Nilai ekonomi substansial yang dijana menerusi aktiviti seperti memancing (RM5.3 juta), penghasilan telur (RM8.88 juta), penternakan dalam sangkar (RM60 juta), penternakan ikan air masin (RM19.6 juta) dan penternakan tiram (RM409,000) akan turut menerima kesan oleh projek berskala besar ini.

Lebih utama, aturan semulajadi alam sekitar banyak terjejas dengan penambakan ini. Proses pengorekan dan penimbusan pasir akan merosakkan lapisan dasar pesisir pantai serta mengganggu sistem hidrologi.

Atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas, maka jelaslah mengapa menjadikan PSR sebagai penyelesaian untuk membangunkan PTMP adalah suatu keputusan yang salah.

Apatah lagi baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang menurut laporan The Malaysian Insight mengatakan bahawa selain PRS, beliau tidak mempunyai rancangan lain untuk mendanai PTMP.

Tidakkah beliau berbincang dengan golongan profesional dan ahli ekonomi dan perancangan bandar terlebih dahulu sebelum memutuskan sesuatu perkara besar sebegini?

Institut Perancang Malaysia (MIP) pada 18 April 2019 berpandangan bahawa daripada menjana kewangan melalui penambakan, modal itu boleh dilaburkan di Seberang Perai sebagai pemangkin kepada kemajuan Pulau Pinang di Semenanjung.

Umum mengetahui wujudnya pembangunan tidak seimbang antara kawasan di seberang dan di pulau.

Selain itu, pembangunan di Seberang Perai boleh dirancang dengan mampan dan strategik serta membawa hasil dan pulangan yang sama dengan kos yang jauh lebih murah serta tidak memikul beban implikasi negatif kepada kaum nelayan dan alam sekitar.

Selain itu, pembangunan di Seberang Perai boleh dirancang dengan mampan dan strategik serta membawa hasil dan pulangan yang sama dengan kos yang jauh lebih murah serta tidak memikul beban implikasi negatif kepada kaum nelayan dan alam sekitar.

Penduduk di Seberang Perai berhak untuk menuntut pembangunan yang telah lama tertangguh dan yang setara sebagaimana di pulau.

Manakala kos PTMP yang tinggi sewajarnya dinilai semula sekiranya ia boleh dikurangkan agar matlamat mengurangkan kesesakan tercapai seiring dengan keperluan, kemampuan kerajaan negeri dan prinsip pemeliharaan alam.

Namun apa yang berlaku, PTMP yang dicadangkan dilihat terlalu bertumpu kepada kereta dengan cara membina lebuhraya baru seperti Penang Island Link 1, 2 & 3, yang ternyata merupakan tindakan yang salah, kerana ia hanya akan meningkatkan lagi jumlah kemasukan kereta yang akan mengapungkan karbon di kawasan itu.

Sebaliknya jalan terbaik adalah dengan memperbanyak pengangkutan awam seperti LRT, dan memperkemas serta memperluas jaringan BRT bagi menggantikan keperluan penduduk terhadap kereta.

Prinsip demokrasi yang melunasi pentadbiran mewajibkan suara rakyat didengari dan hak minoriti dilindungi. Kuasa yang digenggam merupakan mandat daripada rakyat yang mengundi, bukan kurniaan ahli perniagaan atau taikun.

Mereka tidak seharusnya membiarkan pentadbiran mereka menjelma sebagai plutokrasi. Taikun atau ahli perniagaan tidak sewajarnya dibiarkan untuk mempengaruhi pentadbiran sehingga menggadai prinsip dan suara rakyat, terutama para nelayan yang akan terjejas secara langsung daripada pembangunan ini.

Ingatlah pesanan Ali ibn Abi Talib kepada Malik al-Ashtar saat beliau dilantik sebagai gabenor, bahawa ketidaksetujuan dan kegelisahan majoriti rakyat marhaen adalah lebih berbahaya berbanding ketidaksetujuan dan kegelisahan kaum hartawan dan bangsawan yang sedikit.

Untuk itu, sekiranya kerajaan negeri tetap mengambil langkah meneruskan PTMP dan PSR ini, para nelayan meletakkan kepercayaan dan harapan mereka kepada pemimpin negara di Putrajaya. Sekiranya sebelum ini Kerajaan pernah membantah penambakan di Forest City, maka adalah konsisten untuk PSR juga dibantah.

*HILMAN FIKRI AZMAN adalah penyelidik di International Institute of Islamic Thought (IIIT).

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply