Seragamkan undang-undang jenayah syariah untuk keadilan

Last Updated on

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa

KUALA LUMPUR – Penyeragaman dan penyelarasan undang-undang jenayah syariah di seluruh negara perlu diwujudkan untuk membuktikan keadilan Islam dan memudahkan rakyat untuk mendapatkan keadilan di Mahkamah Syariah.

Selama ini, pelaksanaan undang-undang jenayah syariah adalah berbeza-beza bagi setiap negeri, di mana kesalahan yang sama dikenakan hukuman berbeza mengikut undang-undang yang diguna pakai bagi setiap negeri.

Hukuman minum minuman memabukkan di Selangor adalah denda tidak lebih RM 3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, manakala di Pahang lebih tinggi iaitu tidak melebihi RM 5,000, atau penjara tidak lebih tiga tahun, selain mempunyai hukuman tidak lebih enam rotan.

Undang-undang yang diguna pakai ialah Kaedah-kaedah Peguam Syarie 1993, manakala bagi negeri-negeri pula ialah Kaedah-kaedah atau Peraturan-peraturan Peguam Syarie yang dibuat melalui Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri atau Enakmen Mahkamah Syariah Negeri-negeri.  

Ini berikutan doktrin Persekutuan yang diamalkan, di mana kuasa tertentu diberi kepada negeri-negeri, termasuk pentadbiran Islam yang bernaung di bawah kuasa sultan dan Raja-raja Melayu.

Bagi mengatasi keadaan yang menyebabkan sering berlakunya kekeliruan ini, kerajaan bersetuju menggubal Rang Undang-undang Prosesion Guaman Syarie Wilayah Persekutuan yang telah dibuat bacaan pertama dan kedua pada Selasa dan Khamis lalu.

Jika tiada halangan, ia dijangka dapat direalisasikan penghujung tahun depan, nyata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ketika ditemubual Sinar Harian, hari ini.

Menurut Mujahid, penyeragaman ini penting untuk dilaksanakan atas beberapa sebab iaitu untuk menunjukkan keadilan Islam, iaitu masih wujud kesatuan dalam pelaksaaan keadilan melibatkan undang-undang jenayah syariah walaupun setiap negeri ada kuasa masing-masing.

Suatu pendekatan melalui ‘road map’ akan disediakan bagi memudahkan proses penyeragaman ini kerana Persekutuan tiada kuasa untuk campur tangan dalam undang-undang di peringkat negeri.

Semua libat urus bermula dengan pihak negeri, pemegang taruh di negeri-negeri dan Majlis Agama Islam serta Majlis Raja-Raja akan dibuat sehingga ia dapat diterima secara konsensus.

‘Road map’ ini juga akan membawa kepada persediaan untuk dibentangkan di Parlimen pada penghujung 2020 sebagai akta yang telah diharmonikan.

Beliau juga optimis apabila penyeragaman melalui akta di Wilayah Persekutuan berjaya, negeri-negeri juga akan bersetuju mengikut jejak langkah itu setelah melihat kebaikan hasil penyeragaman itu.

Namun beliau menegaskan prosedur ini dibuat tanpa membelakangkan raja-raja.

Mujahid juga melalui bahagian undang-undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan membuat kajian bagi menghasilkan model terbaik, dengan mengambil keistimewaan setiap negeri, dan menyebut Terengganu sebagai model terbaik untuk rujukan kes jenayah ‘musahaqah’.

Beliau juga mencadangkan kaedah bersifat memulihkan atau rehabilitatif bagi penghukuman di bawah undang-undang jenayah syariah seperti memberi ruang untuk bon berkelakuan baik, kerja-kerja sosial dan hukuman yang menyedarkan pesalah.

Perkara ini memerlukan kebijaksanaan dan budi bicara hakim untuk menilai setiap kesalahan itu. Namun konsep pemulihan ini tidak bermaksud semua kesalahan akan dilepaskan, tegas Mujahid.

Leave a Reply