Kenapa Heineken 0.0 tetap haram?

Last Updated on

Oleh Rozais al-Anamy

HEINEKEN 0.0 keluaran Heineken Malaysia Berhad, syarikat pengeluar arak menggunakan slogan “Now You Can” bagi mempromosikan produk terbaru tanpa alkohol mereka.

Namun yang menjadi persoalannya, kepada siapakah gantinama “you” itu ditujukan?

Secara umum, ia boleh difahami merujuk kepada semua orang,  di mana mereka boleh menikmati minuman malt tersebut kerana ia dibuat khusus tanpa alkohol. Umum mengetahui umat Islam dilarang meminum sebarang minuman yang memabukkan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 yang bersidang pada 11 – 12 April 1984 telah memutuskan bahawa semua minuman arak mengandungi alkohol, dan alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis.

Begitu juga sebarang minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

Jadi, apabila ia dipromosi sebagai minuman tanpa alkohol, ramai yang sebelum ini memahami alkohol itu memabukkan, akan berasa sudah boleh meminumnya kerana telah bebas dari bahan memabukkan.

Dengan kata lain, gabungan promosi ‘tanpa alkohol’ dan slogan ‘Now You Can’ boleh membawa pengertian produk ini sesuai untuk semua orang, tanpa mengira agama.

Hal ini boleh menimbulkan salah faham kerana bukan semua pembeli arif dalam bab hukum-hakam dan proses pembuatan minuman ini.

Hanya mereka yang faham konsep Haram Lizatihi (diharamkan syarak sejak awal) dan Haram Lighairihi (haram kerana disertakan perbuatan lain yang haram) sahaja yang mampu memberi hukum kepada fenomena baru dalam industri makanan seperti ini.  

Walaupun ia tidak memabukkan, dari segi hukumnya ia tetap haram diminum kerana proses pembuatannya masih lagi dikira tidak menepati produk halal.

Sebagaimana kata Pengarah Pembangunan Jenama dan Komunikasi Heineken Asia Pacific, Maud Meijboom-van Wel semasa pelancaran produk ini pada 20 Jun lalu, Heineken 0.0 dinyah-alkohol melalui proses sulingan vakum dan diadun secara sempurna untuk memastikan rasa asli Heineken.

Dalam kes ini, usaha Jakim yang bertindak pantas mengeluarkan panduan bahawa minuman ini tidak halal menjawab keraguan masyarakat tentang status halalnya sebelum ini.  

Satu persoalan lagi yang timbul sekiranya suatu hari nanti Heineken mengeluarkan sejenis minuman halal atas jenama sama, adakah umat Islam akan meminumnya?

Perkara ini memerlukan kebijaksanaan para agamawan supaya berfikir secara proaktif mendepani pelbagai inovasi dalam industri makanan.  Umat Islam perlu dididik secara lebih aktif untuk memahami agama secara mendalam, bukan hanya melihat sesuatu perkara dengan pemahaman halal dan haram sahaja. 

Dalam banyak kes, taakulan (pertimbangan) saintifik tidak boleh dijadikan alasan kerana kepatuhan kepada larangan dan suruhan itu bersifat ta’abbudi (ibadah dan penghambaan kepada Allah) dan tidak memerlukan dalil.

Hukum yang bersifat ta’abbudi ini tidak memerlukan hujah rasional untuk diikuti bagi mereka yang benar-benar bertakwa. Kepatuhan sebegini dapat menghindar umat Islam dari cepat tergelincir dari landasan agama dalam perkara yang tidak dapat dibuktikan dengan akal dan logik.

Justeru itu, hilangnya alkohol yang memabukkan dari arak tersebut, tidak boleh menjadi alasan ia menjadi halal. Kepatuhan bersifat ta’abbudi juga mendorong umat Islam berfikir ke depan dan lebih berwaspada dalam mengenal pasti perkara yang memudaratkan agama.

Islam melarang umatnya mendekatkan diri dengan industri arak, bukan sekadar melarang meminum arak. Penggunaan produk seperti ini boleh merobohkan tembok sensitiviti umat Islam, di mana mungkin pada suatu masa, mereka berasa perkara biasa dikaitkan dengan produk halal berjenama haram.

Proses normalisasi seperti ini akan menyebabkan hilangnya maruah agama tanpa disedari.

Selain itu, pembelian produk halal atas jenama tidak halal mewujudkan sokongan kepada industri itu sendiri, malah membudayakan gaya hidup orang kafir yang dilarang agama. 

Baca selanjutnya mengenai Heineken 0.0 di sini:

Leave a Reply