Patutkah pelajar latihan praktikal dibayar elaun?

Last Updated on

Pelajar latihan praktikal juga harus menanggung kos perbelanjaan ulang-alik ke tempat kerja serta kos berkaitan sama seperti pekerja biasa.

HAMPIR kesemua pengundi pelayar maya bersetuju pelajar latihan praktikal dibayar elaun sewaktu menjalani latihan mereka. Rata-rata berpendapat elaun harus diberikan, malah segelintir meminta ia diwajibkan memandangkan pelajar yang menjalani latihan praktikal juga memerlukan kos perbelanjaan seharian ke tempat kerja, sepertimana pekerja biasa.

Keputusan itu diperoleh hasil undian dalam talian Facebook TV AlHijrah setakat jam 4.30 petang ini dengan soalan “Patutkah pelajar latihan praktikal dibayar elaun?”

Seramai 2.1 ribu responden menyertai undian dengan 96 peratus bersetuju pelajar praktikal diberi elaun, manakala hanya 4 peratus menyatakan pemberian elaun tidak perlu.

Selain terlibat memberi undian, ia juga mendapat pelbagai reaksi berdasarkan maklum balas ditinggalkan di ruangan komen.

Antara mereka yang bersetuju supaya elaun diberikan ialah Norzatul Bardah, yang pernah menjalani latihan praktikal tanpa dibayar elaun.

Komennya, “Selaku bekas pelajar praktikal yang tidak diberikan elaun, saya berharap sangat junior-junior yang bakal menjalani latihan praktikal diberikan elaun agar mereka dapat rasa erti gembira menerima wang hasil dari usaha sendiri. I mean hasil dari pekerjaan yang diimpikan selama ini.”

Senada dengan Norzatul, Sukashiny Sandran Lee meluahkan pengalamannya, “Dulu masa 2004 saya buat praktikal dalam sektor kerajaan. Memang tak dibayar elaun. Masa last day dapat goodies bag. And my opinion sekarang perlu ada elaun untuk pelajar latihan praktikal. Tak banyak sikit pun okay. At least dapat ringankan sedikit beban dari segi financial.”

Terdapat juga komen yang menyelar responden yang mengundi “tidak perlu” dan menyifatkan tindakan itu sangat tidak wajar, apatah lagi bagi responden yang mempunyai anak.

Manakala terdapat komen yang menyatakan tindakan tidak memberi elaun tidak wajar kerana banyak syarikat kini mula ambil kesempatan terhadap pelajar praktikal untuk menjimatkan kos bayar gaji pekerja. Pelajar latihan praktikal ini terpaksa membuat kerja luar bidang dan kerja lebih masa. Malah komen itu menyarankan pelajar tersebut dibayar setara dengan gaji pekerja biasa.

AlHijrah Online juga sempat menemubual beberapa pelajar latihan praktikal yang sedang bekerja di syarikat sekitar ibu kota untuk mendapat pandangan mereka berkaitan isu ini.

Nurlina Azharul Abidin, pelajar UiTM Shah Alam yang sedang menjalani latihan praktikal selama sepuluh bulan di sebuah syarikat penyiaran berpendapat, bayaran elaun praktikal sangat perlu untuk menampung kos perbelanjaan ditanggung pelajar yang menjalani latihan praktikal.

“Nasib baik saya dibayar elaun, buat intership di Kuala Lumpur guna banyak kos. Apatah lagi universiti mewajibkan kami menjalani latihan selama sepuluh bulan. Bayangkan macamana saya mahu survive di tengah kehidupan Kuala Lumpur kalau tiada elaun.”

Beliau juga menyarankan agar pihak universitinya menyingkatkan tempoh latihan praktikal kerana sepuluh bulan adalah tempoh yang lama, atau sekiranya mahu diteruskan juga dengan tempoh tersebut, pihak universiti sepatutnya menanggung sebahagian elaun kepada pelajar.

“Dengan itu pihak majikan tidak terlalu terbeban untuk membayar elaun pelajar yang diambil, kerana latihan praktikal adalah syarat dari pihak universiti, jadi perlu ada kerjasama dalam pembayaran elaun.

Jika tidak, majikan perlu menghadkan jumlah pengambilan pelajar praktikal untuk menjimatkan kos pembayaran elaun,” katanya lagi sewaktu ditemubual AlHijrah Online.

Lia Ramadiani dari Kolej Kemahiran Teknologi Mara (KKTM) Rembau juga bersetuju pihak majikan memberi elaun kepada pelajar praktikal walaupun dalam jumlah sedikit.

Beliau yang menjalani latihan praktikal selama empat bulan setengah di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur berpuas hati dengan elaun sebanyak RM 200 yang diterima, yang menurutnya sesuai dengan tugas yang diberikan, katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi satu video di Twitter menyatakan hasratnya untuk mengemukakan cadangan supaya penuntut institusi pengajian tinggi yang menjalani latihan praktikal menerima elaun.

Ini berikutan terdapat ramai penuntut yang tidak menerima elaun daripada tempat latihan industri. Justeru itu beliau bercadang mengusulkan cadangan itu dalam sesi Kabinet khas bagi membincangkan isu berkaitan anak muda termasuk pemberian elaun berkenaan.

Pelaksanaan elaun minimum untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang menjalani latihan industri pernah ditimbulkan dalam Dewan Rakyat pada 18 Mac lepas, di mana Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching mencadangan agar ia perlu diteliti dengan mendalam agar tidak membebankan industri.

Ini kerana langkah itu boleh membebankan majikan khususnya perusahaan kecil dan sederhana, sekali gus membataskan kemampuan mereka untuk mengambil pelajar praktikal. Selain itu penetapan atau pemberian elaun kepada pelajar praktikal adalah bergantung kepada peruntukan majikan masing-masing, katanya menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu usaha kerajaan untuk menetapkan kadar elaun minimum bagi pelajar praktikal sepanjang latihan di sektor swasta atau awam.

Leave a Reply