Senoi Praaq bantu jejaki pemburu haram

Last Updated on

Harimau Malaya

KUALA LUMPUR – Tindakan proaktif Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengerah dua batalion Polis Gerakan Am dari Senoi Praaq untuk membantu Jabatan Perhilitan membanteras kegiatan pemburu haram yang membunuh hidupan liar terutamanya harimau Malaya sangat tepat.

Abdul Hamid dipetik Bernama dilaporkan berkata, penglibatan Senoi Praaq ini mampu meningkatkan lagi keyakinan Jabatan Perhilitan yang terpaksa berdepan dengan keganasan penjenayah.

“Jadi dengan adanya satu batalion Senoi Praaq, ia sedia membantu Jabatan Perhilitan yang selama ini saya dengar amat tercabar sekali tugasan mereka, di dalam hutan.

“Nyawa mereka diancam oleh kumpulan pemburu haram dari luar negara yang begitu berani dan ganas. Kita akan guna kuasa untuk menembak mereka jika ada keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Global Tiger Day 2019 dan Pelancaran Kempen Selamatkan Harimau Malaya 2019-2020, di Putrajaya hari ini.

Senoi Praaq yang terkenal dengan kemahiran menjejak musuh dan beraksi di hutan mampu menimbulkan kegerunan kepada pemburu haram ini yang kebanyakannya dari kalangan pemburu asing.

Harimau Malaya bakal berdepan nasib sama seperti harimau Bali, harimau Caspian dan harimau Jawa yang telah pupus berdekad lamanya sekiranya usaha membanteras pembunuhannya tidak ditangani secepat mungkin. Ini kerana pengurangan populasinya di negara ini berlaku amat pantas dan terlalu drastik.

Sekitar tahun 1950-an, Semenanjung Malaysia memiliki lebih 3,000 ekor harimau Malaya yang mendiami kawasan hutan belantara. Namun pada tahun 2003, dianggarkan terdapat hanya 500 ekor yang tinggal. Manakala pada tahun 2009 hingga 2011, kaji selidik yang dilakukan oleh WWF-Malaysia di Kompleks Hutan Belum – Temenggor mendapati sekurang-kurangnya 50 ekor harimau masih mendiami kawasan tersebut ketika itu.

Harimau Malaya yang hanya boleh ditemukan di negara ini kini semakin terancam oleh pemburuan haram, ancaman sumber makanan dan kemusnahan hutan.

Kempen oleh pertubuhan Save Wild Tigers ditayangkan dalam pengangkutan awam seperti ERL bertujuan menghentikan pembunuhan harimau yang semakin pupus. SUMBER YOUTUBE

Harga yang tinggi mencecah RM 1 juta bagi setiap seekor ditawarkan oleh pembeli luar negara menyebabkan Harimau Malaya menjadi buruan dan dijual di pasaran gelap. Ia dikatakan mempunyai khasiat yang luar biasa dan digunakan dalam perubatan tradisional.

Antaranya ialah taring yang didakwa boleh menundukkan pihak lawan dan menyebabkan pemakainya disegani dan dihormati, menjadi pendinding daripada gangguan binatang buas, sihir dan meningkatkan semangat berani dan wibawa kepada si pemakai.

Selain itu, harimau juga menjadi rebutan untuk dijadikan produk minuman seperti Tiger Wine Bone yang mendapat pasaran meluas. Walaupun pelbagai kempen menggesa supaya minuman ini diboikot, pemburu haram tetap cekal hati merampas kehidupan haiwan yang dilindungi ini demi pulangan lumayan.

Salah satu kempen dari pertubuhan Save Wild Tigers melalui sloga “Stop The Demand” pada tahun 2015 meminta orang ramai supaya tidak membeli produk tersebut untuk menyekat permintaan kepada produk hasil aktiviti haram itu.

Leave a Reply