Senoi Praaq kembali beraksi

Last Updated on

Oleh Rozais al-Anamy

MEREKA dikenali sebagai Senoi Praaq dalam bahasa Semai, yang bermaksud orang perang. Ketangkasan pergerakan dalam hutan dan keupayaan membaca bahasa alam meletakkan mereka setaraf atau lebih unggul dari pasukan perisikan antarabangsa.

Pasukan ini mempunyai perjalanan sejarah yang panjang dalam keselamatan negara dan cerita tentang patriotism anak bangsa.

Semasa ditubuhkan pada tahun 1955, ia hanya dianggotai sepuluh pemuda Orang Asli suku Temiar yang diletakkan di bawah D Squadron SAS (Special Air Service). Tugas utama pada masa itu ialah menjejak dan menyekat kemaraan komunis. Selepas itu, unit ini diletakkan pula di bawah Jabatan Orang Asli.

Menghadapi komunis yang terkenal kejam dengan segala bentuk penyeksaan, pemilihan Senoi Praaq adalah langkah bijak dan tepat. Selain kemahiran alami kerana latar belakang kehidupan, seperti kepakaran mengunakan lembing, sumpit, belantik atau jerangkap samar daripada buluh, mereka juga dilatih dengan ilmu pertempuran gerila, taktik serangan pantas dan kejutan oleh SAS.

Gabungan kemahiran ini menjadikan Senoi Praaq suatu unit yang unik. Kemahiran itu diakui oleh pihak British sehingga pihak SAS menganugerahkan bere merun mereka kepada unit ini. Seterusnya Senoi Praaq diangkat sebagai pasukan elit oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tidak hairanlah apabila mereka mencipta nisbah rekod 16:1, di mana hanya seorang terkorban bagi setiap 16 pengganas komunis yang terbunuh. Keupayaan membunuh ini menimbulkan kegerunan yang bukan sedikit kepada komunis sehingga mereka terkadang memilih berundur daripada bertempur dengan unit ini.

Kerana itulah pada suatu ketika, sekumpulan anggota Senoi Praaq yang sedang bercuti di kampung telah diculik oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Mereka hanya dibenarkan pulang setelah PKM meletakkan senjata di Tanah Melayu.

Tugas unit ini masih terus diperlukan walaupun Tanah Melayu merdeka. Pada tahun 1960, Senoi Praaq telah digerakkan ke selatan Thai untuk memujuk lebih 3,000 Orang Asli yang tinggal di sana sambil memburu Soo Ah Chye, seorang pemimpin gerila PKM yang fasih bahasa Temiar, manakala pada tahun 1964, R.O.D Noone bersama sekumpulan kecil anggota Senoi Praaq telah dihantar ke Vietnam atas permintaan Presiden Ngo Dinh Diem.

Kehebatan Senoi Praaq diakui oleh CIA sehingga digelar “The Silent Killer”. FOTO ORANG PERAK

Mereka bertanggungjawab membentuk pasukan Montagnard Scouts dibawah MSP (Mountain Scout Program) kendalian CIA (Central Intelligence Agency) dengan kerjasama BRIAM (British Advisory Mission) sehingga digelar “The Silent Killer” oleh CIA.

Namun mereka juga kadangkala menjadi mangsa pihak yang tidak berperi kemanusiaan. Dalam buku ‘Death Waits in the Dark: The Senoi Praaq, Malaysia’s Killer Elite’ menyatakan, Senoi Praaq ditinggalkan begitu sahaja di Laos selepas digunakan secara rahsia untuk misi di sana. Ini terjadi apabila Amerika Syarikat berundur dari Laos.

Mempunyai daya tahan dan ikhtiar yang tinggi, unit elit itu berjaya kembali ke Malaysia sambil bertempur dengan musuh di sepanjang jalan pulang. Ramai juga anggota Senoi Praaq yang terkorban dalam perjalanan ke tanah air itu.

Apabila bermulanya Darurat Kedua pada tahun 1968 ekoran kebangkitan semula pemberontakan bersenjata komunis, Senoi Praaq telah diserap ke dalam pasukan PDRM dan dikenali sebagai Batalion ke-10 PPH (Pasukan Polis Hutan) di bawah naungan Briged Utara.

Pada masa inilah wira kebanggaan Senoi Praaq, Apot a/k Saad yang diberi gelaran “Big Nose” menyertai unit ini dan kemudiannya diserap ke dalam komando VAT 69. Kerana kehandalannya menjejaki pergerakan dan penempatan pengganas Komunis dalam hutan belantara, beliau dihormati di kalangan tentera Komanwel termasuk pasukan SAS dari New Zealand dan Australia, dan dianugerahkan pangkat Sarjan Mejar.

Senoi Praaq Pasukan Gerakan Am semasa perarakan Hari Kebangsaan Malaysia ke-56.

Malangnya jasa besar Senoi Praaq tenggelam begitu sahaja setelah negara aman dari kekejaman komunis. Malahan pernah pula bere merun kebanggaan mereka ditarik balik oleh oleh PDRM, yang mengakibatkan mereka yang pernah berkhidmat dalam unit ini berasa sangat terkilan dan terpinggir.

Bere ini kemudiannya diserahkan kembali kepada kedua-dua batalion Senoi Praaq ini. Batalion 19 PPH kini dikenali sebagai BN 3 PGA dan BN 20 PPH dikenali sebagai BN 18 PGA.

Justeru itu tindakan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengerah dua batalion Polis Gerakan Am dari Senoi Praaq untuk membantu Jabatan Perhilitan membanteras kegiatan pemburu haram yang membunuh hidupan liar terutamanya harimau Malaya sangat tepat dan merupakan satu penghormatan serta pengiktirafan kepada bakti Senoi Praaq.

“Jadi dengan adanya satu batalion Senoi Praaq, ia sedia membantu Jabatan Perhilitan yang selama ini saya dengar amat tercabar sekali tugasan mereka, di dalam hutan.

“Nyawa mereka diancam oleh kumpulan pemburu haram dari luar negara yang begitu berani dan ganas. Kita akan guna kuasa untuk menembak mereka jika ada keperluan,” katanya selepas menghadiri Global Tiger Day 2019 dan Pelancaran Kempen Selamatkan Harimau Malaya 2019-2020, di Putrajaya Isnin lalu.

Keterlibatan Senoi Praaq dalam tugas mencabar ini sedikit sebanyak adalah usaha memperkenalkan semula unit ini kepada orang ramai agar mereka sedar kedamaian yang sedang dinikmati selama ini adalah hasil pengorbanan dari wira-wira yang jarang didendang namanya ini.

*ROZAIS AL-ANAMY adalah penulis sastera dan penulis bebas di akhbar, majalah dan portal di Malaysia.

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply