Belajar Jawi – Jangan ego terima hakikat

Last Updated on

Oleh Rozais al-Anamy

KEPUTUSAN muktamad kerajaan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat dibuat setelah mengambil kira pelbagai aspek yang menguntungkan rakyat pelbagai bangsa.

Justeru itu amatlah tidak wajar bagi sesetengah pihak yang menentang keputusan ini tanpa mengkaji terlebih dahulu tujuannya dan ia boleh disifatkan sebagai sikap bodoh sombong.

“Tidak kenalah kalau segelintir pihak dalam DAP dan pertubuhan tertentu untuk menentang penulisan khat. Penulisan khat suatu seni yang tinggi dan saya fikir kita boleh teruskan,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sesi dialog bersama penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) sempena Townhall Semarak Merdeka di Hotel Hatten, Melaka, Sabtu lalu.

Selain bersikap buta sejarah, penentangan oleh golongan yang boleh digelar ultra kiasu ini sangat bertentangan dengan usaha kerajaan untuk menyatu padukan masyarakat berbilang kaum melalui bahasa dan tulisan yang memang terbukti mampu mewujudkan keharmonian negara ini.

Hasil tulisan khat oleh penuntut Cina yang mengikuti Kursus Seni Khat di Universiti Sains Malaysia yang dikongsikan oleh Muhammad Anis, tenaga pengajar kursus tersebut. FOTO SINAR HARIAN

Hal ini diakui oleh seorang pencinta tulisan Jawi berbangsa Cina, Kang Tok Kiew, 72 yang membesar dalam kelompok orang Melayu di Kampung Chekok Tok Chuba, Machang, Kelantan. Dia yang terkenal dengan panggilan Mek dalam kalangan orang Melayu boleh menulis Jawi dengan baik kerana belajar tulisan itu sejak kecil lagi.

Menurut Mek yang pernah ditemuramah oleh Harian Metro pada tahun 2016, pada sekitar tahun 1950, unsur perpaduan selalu ditekankan oleh cikgu dan mereka diajar untuk hidup harmoni tanpa membeza-bezakan mana-mana kaum.

“Ia adalah tulisan yang menyatukan kami ketika itu. Hingga kini, walau sudah lebih 60 tahun meninggalkan persekolahan, Mek tahu menulis dan baca Jawi.

“Rasanya Mek lebih mahir Jawi daripada bahasa Mandarin walaupun ia bahasa komunikasi di rumah,” katanya.

Apa yang disuarakan Mek itu juga diakui oleh Lee Guan Hooi, 61 yang merupakan kaum Cina pertama yang mencipta Kaedah Jawi Mesra Pengamal Rumi. Beliau yang pada awalnya memesrai tulisan Jawi untuk lebih memahami dokumen pejabat yang ditulis dalam skrip bekerja sebagai Pembantu Penerangan Kanan, Cawangan Perancangan dan Penyelidikan di Jabatan Penerangan Kelantan pada tahun 2005.

Lee berusaha memotong artikel Jawi dari makalah Melayu untuk belajar perkataan sehari bagi memudahkan pekerjaannya. Ketabahan Lee sepanjang 25 tahun yang lalu telah diiktiraf apabila beliau telah menerima anugerah Maulidur Rasul untuk penemuannya Kaedah Jawi Berselah Rumi. Lee telah dipanggil oleh pelbagai sektor seperti Kementerian Pendidikan untuk membantu mengajar dan menggunakan kaedahnya.

“Tulisan Jawi sangat indah dan sebab itu saya mahu semua bangsa mempelajarinya kerana ia sangat unik,” katanya kepada Bernama pada tahun 2005.

Sepanjang usahanya mempelajari Jawi, Lee banyak terhutang budi kepada kawan-kawan Melayu yang banyak membantu, di samping rakan Cina dari pedalaman yang pada waktu itu kebanyakannya membaca akhbar Jawi. Hubungan mereka yang akrab itu menyebabkan Lee jatuh cinta kepada tulisan tersebut. Lee yang juga belajar tulisan khat menggalakkan masyarakat belajar Jawi kerana bimbang ia pupus ditelan zaman apabila generasi baru terutama masyarakat Melayu tidak mahu lagi mempelajarinya.

Kebimbangan Lee itu kini hampir menjadi kenyataan apabila empat tahun lalu, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Nafisah Ahmad pernah mendedahkan terdapat sebanyak 4,600 manuskrip Melayu lama bertulisan Jawi lama yang masih belum terusik untuk dilakukan sebarang kajian atau usaha-usaha untuk menterjemahkan ia ke dalam tulisan rumi.

Dalam keasyikan mengejar dan memperkasakan bidang sains dan teknologi, elemen ketamadunan lama tidak dijadikan sebagai keutamaan dan usaha untuk memperkasakan tulisan ini semakin kabur.

Walhal melalui penterjemahan terhadap manuskrip lama tersebut, sudah pastinya ia akan memudahkan generasi baharu memahami segala unsur-unsur yang menjadikan tulisan ini terbilang di negara ini suatu ketika dahulu. Dan betapa banyaknya kerugian ilmu yang tertinggal dalam manuskrip ini oleh ketidakcaknaan kita terhadap tulisan warisan negara.

Justeru itu langkah yang dibangkitkan semula oleh Dr Mahathir melalui Kementerian Pendidikan dengan menjadikan tulisan Jawi sebagai salah satu kurikulum wajar mendapat sokongan padu daripada semua pemimpin yang ingin melihat Malaysia kekal sebagai negara yang hidup dalam perpaduan pelbagai kaum.

Malah lebih dari itu, mereka yang menentang usaha ini sepatutnya malu kepada Prof. Dr. Kang Kyoung Seok, seorang pakar tulisan Jawi dari Pusan Universiti of Foreign Studies, Korea yang pernah menyatakan kebimbangannya sekiranya generasi muda di negara ini semakin melupakan tulisan bangsa mereka sendiri sehingga menyebabkan berlakunya ketandusan generasi yang mampu menguasai tulisan Jawi.

Jika seorang bangsa asing yang tinggal jauh dari bumi kita ini menyokong kelestarian tulisan Jawi, bagaimana pula kesetiaan mereka yang menentang tulisan ini diajarkan semula kepada watan negara ini? Usahkan menghargai khazanah negara, sebaliknya menjadi gunting dalam lipatan dalam usaha memajukan negara sendiri.

Walhal suatu ketika dahulu, mereka inilah yang datang berhijrah ke negara ini dengan membawa bersama tulisan ibunda mereka. Dan sehingga kita lihat kaum Cina sangat cintakan seni kaligrafi mereka, manakala kaum India pula dilihat sentiasa mengagungkan bahasa Tamil tanpa dihalang oleh kerajaan.

“”Tulisan bahasa Cina tidak dibenarkan di negara lain termasuk Filipina, Indonesia dan Thailand. Ini adalah sesuatu yang istimewa (di Malaysia) kerana tidak pernah menghalang penggunaan tulisan kaum masing-masing,” kata Dr Mahathir lagi.

Jawi itu hanya tulisan, bukannya agama. Khat itu pula suatu seni tulisan. Maka, ketakutan apakah sedang dialami mereka yang menentang ini?

Leave a Reply