Ulangtahun ke-62 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

Last Updated on

Raja-raja Melayu dan pembesar negeri bergambar bersama Sir Donald MacGillivray selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957. FOTO ARKIB NEGARA MALAYSIA

KUALA LUMPUR – Pada hari ini, 5 Ogos cukuplah 62 tahun termaterinya Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani pada tahun 1957 di antara Raja-Raja dengan wakil Baginda Queen, Pesuruhjaya Tinggi, Sir Donald MacGillivray di King’s House, Kuala Lumpur dalam satu upacara gemilang. 

Pada kira-kira jam 9.30 pagi seramai 15 orang penanda tangan utama, iaitu Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu, lapan orang Raja-Raja Melayu, Tengku Mahkota Johor dan lima orang Pembesar yang berkuasa dari Negeri Sembilan (selain daripada Yang Dipertuan Besar) serta saksi-saksi kepada penanda tangan-penanda tangan telah menandatangani perjanjian itu dengan menggunakan pena yang khas bertulis Federation of Malaya Agreement 1957.

Perjanjian ini telah ditandatangani dalam 40 salinan, 20 dalam Bahasa Melayu dan 20 lagi dalam Bahasa Inggeris. Dua salinan daripada perjanjian itu dihantar kepada kerajaan British, sementara dua lagi disimpan oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Satu salinan tiap-tiap satu dihantar kepada tiap-tiap negeri termasuk Melaka dan Pulau Pinang, sementara untuk Negeri Sembilan diserahkan enam salinan.

Artikel 3 Perjanjian ini menyatakan “bahawa mulai daripada 31 Ogos 1957, negeri-negeri Melayu dan Selat akan tertubuh menjadi satu Persekutuan yang baru yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu, atau dalam bahasa Inggerisnya, The Federation of Malaya”.

Oleh itu dengan sendirinya Perjanjian ini telah memansuhkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, dan dengan itu berakhirlah kuasa dan kedaulatan Baginda Queen ke atas Melaka dan Pulau Pinang. Dan dengan itu juga segala kuasa dan jurisdiksi baginda ke atas Persekutuan Tanah Melayu berakhir.

Leave a Reply