Empat Exco menghadap Sultan Selangor bincang isu tukar agama anak secara sepihak

Last Updated on

Empat anggota exco menghadap Sultan Selangor hari ini bagi membincangkan cadangan pindaan enakmen negeri berhubung penukaran agama anak secara sepihak. GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Empat Exco bukan Islam kerajaan Selangor hari ini menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam bagi membincangkan cadangan pindaan enakmen negeri berkaitan penukaran agama anak secara sepihak.

Menurut laporan Bernama, empat Exco berkenaan adalah Datuk Teng Chang Khim, V. Ganabatirau, Hee Loy Sian dan Ng Sze Han.

Mereka juga difahamkan telah memohon untuk menghadap Sultan Sharafuddin pada 25 Julai lepas untuk membincangkan beberapa isu dipercayai berhubung usul pindaan enakmen negeri berkaitan penukaran agama bagi anak di bawah umur.

Permohonan itu dibuat sehari sebelum Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bertemu wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) untuk memaklumkan mengenai pindaan tersebut.

Amirudin sebagaimana laporan media memberitahu wakil rakyat tersebut bahawa pindaan itu dicadangkan oleh Majlis Agama Islam Selangor dan mendapat perkenan istana.

Namun begitu, sebahagian besar wakil rakyat berkenaan menentang cadangan tersebut dalam pertemuan berkenaan, menyebabkan cadangan pindaan ke atas Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor tidak jadi dibentangkan semasa sidang DUN Selangor, baru-baru ini selepas ditangguhkan Speaker Dewan, Ng Suee Lim sejurus dua hari bersidang.

Sebelum itu, telah timbul desas-desus yang mengatakan terdapat gerakan yang didakwa mahu menukar Amirudin daripada jawatan Menteri Besar kerana dikaitkan dengan sokongannya ke atas Azmin Ali dalam isu video seks yang dihadapi Timbalan Presiden PKR itu.

Leave a Reply