Kontroversi tidak jejaskan sambutan ceramah Dr Zakir

Last Updated on

Dr Zakir naik sedang menyampaikan ceramahnya di Kota Bharu Trade Centre, Kota Bharu malam tadi dalam Siri Jelajah Dr Zakir Naik ke Kelantan 2019 yang bermula semalam hingga 9 Ogos ini.

KOTA BHARU – Sekitar tiga ribu orang memenuhi ruang dewan Kota Bharu Trade Centre untuk mendengar ceramah Dr Zakir Naik bertajuk Diskusi Intelek Bersama Dr. Zakir Naik, di sini, malam tadi.

Walaupun sedang dilanda kontroversi, ceramah beliau tetap mendapat sambutan hangat terutamanya oleh pelajar institusi pengajian tinggi, sekaligus membuktikan mereka tidak terpengaruh dengan cubaan menggugat kehidupan umat Islam.

Dr Zakir yang diberi ruang lebih tiga jam untuk menerangkan tajuk “Happiness in the Quran” ternyata berjaya menarik perhatian hadirin terutama golongan muda, menyebabkan sesi soal jawab terpaksa dilanjutkan hampir satu jam dan selesai menjelang 1 pagi.

Dalam ceramahnya, Dr Zakir menekankan tentang kepentingan manusia mencari kebahagian hakiki melalui jalan Islam seperti yang digariskan al-Quran, dan mengingatkan mereka supaya tidak terpedaya dengan kebahagiaan palsu yang hanya bersifat sementara.

Mohd Iman Saifullah

Salah seorang yang hadir, Mohd Iman Saifullah berkata, penyampaian ceramah Dr Zakir kali ini agak berlainan sedikit daripada lazimnya kerana hadirin terdiri daripada kalangan majoriti umat Islam.

Dr. Zakir yang terkenal dengan ceramah yang berbentuk perbandingan agama didakwa sering menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.  

Manakala seorang lagi peserta, Siti Aniza Abdul Rahman berkata, program kali ini merupakan satu perbincangan yang menarik kerana turut diisi dengan soalan-soalan tentang kebahagiaan, penciptaan manusia serta pendekatan sains dalam aspek kehidupan di dunia seperti peredaran bulan dan matahari di atas orbitnya tersendiri.

Siti Aniza Abdul Rahman

Penceramah terkenal dunia itu berada di negeri Cik Siti Wan Kembang untuk program Siri Jelajah Dr Zakir Naik ke Kelantan 2019 yang bermula semalam hingga 9 Ogos ini.

Beliau akan mengakhiri siri jelajah ini dengan pidato perdana yang akan diadakan esok di Stadium Sultan Muhammad ke-4.

Leave a Reply