Tulisan Jawi sebati pelbagai kaum di Kota Bharu

Last Updated on

Papan tanda premis perniagaan dan papan iklan serta nama jalan wajib mengandungi tulisan Jawi di Kota Bharu.

KOTA BHARU – Undang-undang mewajibkan penggunaan tulisan Jawi di setiap papan tanda premis perniagaan dan papan iklan serta nama jalan di sekitar Kota Bharu bertujuan memastikan warisan Melayu itu terus kekal dan subur terutama untuk generasi masa depan.

Menurut Pengarah Pelesenan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Azizan Mohamed,  undang-undang yang diperkenalkan pada tahun 1995 dan dikuatkuasakan sepenuhnya pada 2007 itu juga selari dengan slogan Membangun Bersama Islam, Kerajaan Negeri Kelantan.

Azizan Mohamed

“Kita lihat di luar Kelantan, ramai anak muda mula melupakan tulisan Jawi dan jika kita tidak kuatkuasakan penggunaan tulisan Jawi, kita bimbang mereka langsung tidak dapat membacanya nanti.

“Dengan penguatkuasaan ini, bukan setakat orang dewasa, anak muda Muslim, bahkan orang Tionghua sendiri sudah dapat membaca tulisan Jawi ini di Kota Bharu,” kata beliau kepada krew Berita AlHijrah semalam.

Azizan berkata, sepanjang penguatkuasaan penggunaan tulisan Jawi di Kota Bharu, pihaknya tidak pernah menerima sebarang rungutan atau bantahan dari masyarakat berbilang kaum di bandar ini.

Malah masyarakat di negeri ini menyambut baik usaha kerajaan untuk memperkenalkan kembali penulisan khat Jawi dalam sukatan pelajaran di sekolah-sekolah.

Tambah beliau, MPKB-BRI sentiasa mencari jalan untuk memperkasakan penggunaan tulisan Jawi di bandar ini.

Maliga a/p Rangasamy

Seorang peniaga, Maliga a/p Rangasamy yang ditemui berkata penggunaan tulisan Jawi tidak sepatutnya menimbulkan masalah.

“Tak jadi masalah, dulu pun masa saya belajar sekolah rendah, belajar Jawi sudah ada. Sistem belajar sejak dahulu sudah elok, seharusnya diteruskan semula usaha yang pernah tersekat (belajar Jawi). Tulisan Jawi bukannya berkait dengan agama,” katanya.

Manakala seorang peniaga lagi, Peter Lee Jho Khiong meluahkan rasa dukacitanya kerana pengenalan kepada tulisan Jawi ini menjadi isu hangat yang mendapat bantahan dan dipergunakan oleh pihak tertentu.

Peter Lee Jho Khiong

“Negara ini terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, saya minta semua pihak bertenang kerana isu ini boleh diselesaikan dengan baik.

“Saya harap jangan ada batu api yang membakar isu ini dan merosakkan keharmonian masyarakat di negara ini,” pinta Jho Kiong.

Ahli Majlis Daerah Ketereh, Khalilullah Ahmad pula berkata, beliau menyokong usaha ini untuk memupuk minat generasi baru mencintai tulisan Jawi demi menjamin kelestarian tulisan ini.

Khalilullah Ahmad

“Apabila pengenalan dibuat, kita mulakan dengan papan iklan yang ada tulisan Jawi. Generasi baru secara tidak langsung terus nak belajar. Iklan ditulis dalam tulisan Jawi, jadi mereka kena belajar untuk faham apa yang ditulis,” katanya.

Terbaru, pada 1 Ogos lalu, peraturan baharu yang mewajibkan setiap permohonan papan tanda premis perniagaan perlu mendapat kelulusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur bagi memastikan ejaan Jawi dan Rumi digunakan dengan tepat dan betul.

Leave a Reply