Kayak milik dua rakyat Singapura hilang di perairan Mersing ditemui

Last Updated on

Kayak milik mangsa yang ditemui nelayan tempatan di sekitar perairan Pelabuhan Kuantan tengahari semalam.

MERSING – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini mengesahkan penemuan kayak dipercayai milik dua warga Singapura yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti berkayak di Perairan Endau Khamis lalu.

Barang barang lain yang ditemui dalam kayak milik mangsa, Tan Eng Soon, 62 tahun dan Puah Geok Tin, 57 tahun termasuklah pendayung, telefon bimbit, satu pasport milik warga Singapura, kad pengenalan diri, beg kalis air berisi pakaian dan beg duit beserta wang tunai Singapura dan Malaysia milik salah seorang daripada mereka.

Semua barang tersebut ditemui pada pukul 12.30 minit tengahari semalam oleh nelayan tempatan di sekitar perairan Pelabuhan Kuantan, berjarak lebih kurang 0.6 batu nautika tenggara Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang.

Haris Fadzilah Abdullah

Pengarah Maritim Zon Mersing, Haris Fadzilah Abdullah berkata, pengecaman dan pengesahan juga telah dilakukan ahli keluarga mangsa sekitar pukul 11.30 minit pagi tadi.

Hasil penemuan baru itu, sektor misi mencari dan menyelamat dari Endau, Mersing diperluaskan ke perairan Kuantan, Pahang dengan 1200 batu nautika, berbanding 900 batu nautika, semalam.

“Mangsa mungkin berada sekitar perairan Endau hingga Beserah. Walau bagaimanapun permohonan pihak mangsa untuk membuat pencarian di pulau-pulau di mana kemungkinan mangsa berada akan kita laksanakan juga.

“119 anggota ditugaskan untuk meneruskan misi dan menyelamat sehinggga mangsa ditemui,” jelas Haris.

Khamis lalu, kedua-dua mangsa dilaporkan hilang kira-kira 5.40 petang selepas kayak dinaiki terpisah dengan 13 lagi rakan mereka antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing.

Leave a Reply