Bukan bumiputera tidak berminat dalam sektor awam?

Last Updated on

Sektor perkhidmatan awam banyak diceburi bumiputera kerana sambutan kurang memberangsangkan dari kalangan bukan bumiputera. – GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Sambutan kurang memberangsangkan dari kalangan bukan bumiputera dalam sektor perkhidmatan awam menyebabkan ketidakseimbangan kaum dalam sektor itu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Md Farid Md Rafik.

“Berdasarkan kepada jumlah permohonan, sambutan dari kalangan bukan bumiputera agak kurang memberangsangkan berbanding kumpulan bumiputera.

“Kesemua proses pelantikan adalah berdasarkan merit dan tidak sama sekali berdasarkan kaum atau bangsa. SPA dan pihak berkuasa melantik yang lain sentiasa membuka peluang kepada semua kaum untuk memohon,” katanya dalam kenyataannya semalam, sebagaimana dipetik Bernama dalam laporannya tentang saiz perkhidmatan awam negara.

Menurut Md Farid lagi, pelantikan ke dalam perkhidmatan awam perlu melalui proses permohonan, temu duga dan pelantikan. Justeru itu beliau berkata, usaha akan diteruskan bagi menarik minat golongan bukan bumiputera menyertai perkhidmatan awam.

Beliau juga menafikan dakwaan yang menyatakan saiz perkhidmatan awam Malaysia terlalu besar dan perlu dikecilkan untuk menjimatkan perbelanjaan pengurusan kerajaan pada setiap tahun.

“Saiz perkhidmatan awam Malaysia masih ideal dan tidak terlalu besar berbanding negara lain,” katanya.

Ini kerana jumlah penjawat awam sebanyak 1.6 juta orang turut melibatkan sektor pendidikan, pasukan keselamatan dan tenaga kerja kesihatan yang lazimnya tidak diambil kira sebagai kakitangan awam di negara-negara lain.

“Sekiranya ketiga-tiga sektor ini tidak diambil kira, ia hanya melibatkan sejumlah 616,718 kakitangan (setakat Mei 2018) ataupun nisbah 1:51 kepada rakyat Malaysia,” petik Bernama.

Beliau mengulas sedemikian terhadap isu tular bertajuk “Askar hanya makan tidur, tak pernah menembak, baik kerja ladang Felda” dalam sebuah portal yang memetik sebuah artikel bertajuk “My Proposal For The Reduction And Improvement Of Our Civil Service” yang ditulis seorang ahli perniagaan di blognya.

Md Farid juga menyatakan isu perbelanjaan pengurusan terutama berkaitan gaji kakitangan awam yang meningkat saban tahun sentiasa dalam perhatian kerajaan, dan kerana itulah beberapa inisiatif seperti mengecilkan saiz perkhidmatan awam secara berperingkat dengan hanya 1.6 juta perjawatan diisi daripada keseluruhan 1.7 juta perjawatan yang wujud dibuat untuk menangani masalah ini.

“Kerajaan juga mengambil pendekatan dasar penswastaan di mana kerajaan akan mengurangkan beban kewangan, meninggikan kecekapan dan penghasilan kerja, menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pembahagian sumber yang lebih cekap,” katanya.

Langkah-langkah ini dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan emolumen sehingga RM1.9 billion serta penjimatan sebanyak RM490 juta bagi bayaran pencen kakitangan awam.

Beliau juga meminta semua pihak menilai semula tanggapan negatif mereka terhadap sektor ini dan bersikap lebih adil dan bertanggungjawab.

Leave a Reply