Hina tentera: Terlajak perahu boleh diundur

Last Updated on

Koon Yew Yin menarik balik kenyataannya yang dibuat pada 12 Ogos lepas dan meminta maaf kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atas keceluparannya menghina mereka.

KUALA LUMPUR – Kecaman orang ramai akhirnya menyedarkan ahli perniagaan, Koon Yew Yin untuk meminta maaf kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atas keceluparannya menghina anggota tentera yang sebelum ini disifatkan tiada kerja dan hanya makan-tidur sahaja.

“Saya menyesal dengan kenyataan itu tetapi bukan niat saya untuk memfitnah atau merendah-rendahkan anggota tentera. Saya juga tidak berniat untuk mencetuskan kekacauan.

“Saya berbangga menjadi rakyat Malaysia dan sangat berterima kasih terhadap kesetiaan dan dedikasi anggota tentera kita,” katanya dalam satu kenyataan di laman blognya semalam.

Walaupun telah meminta maaf, anggota pasukan keselamatan negara mungkin tidak dapat melupakan kata-kata penghinaan tersebut, apatah lagi ia dibuat pada bulan kemerdekaan, di mana sepatutnya jasa dan pengorbanan mereka dikenang seluruh warga atas nikmat kedamaian dan keamanan yang dikecapi kini.

Ternyata sewaktu menulis artikel tersebut, Yew Yin mendahulukan nafsunya melebihi akal warasnya sehingga sanggup mempertikaikan mereka yang telah banyak menabur bakti kepada negara. Setelah “waras”, barulah beliau sedar yang kata-katanya itu telah melukakan hati sesama warga.

Hal ini diakui sendiri oleh beliau yang mengakui bahawa sewaktu kecil beliau pernah menyaksikan pengorbanan anggota tentera mempertahankan negara ketika Perang Dunia Kedua.

Sekiranya pengalaman dan rasa hormat Yew Yin terhadap anggota tentera mendahului kemarahannya terhadap mereka, pasti Yew Yin tidak tergopoh-gapah mengeluarkan kenyataan menyakitkan itu.

“Amat bodoh apabila saya terlupa semua itu ketika saya menulis artikel berkenaan. Memikirkannya semula sekarang, kata-kata tidak dapat menggambarkan betapa menyesalnya saya.

“Sekali lagi saya ingin memohon maaf. Saya juga akan memastikan semua fakta saya tepat sebelum membuat sebarang komen lagi,” katanya.

Keterlanjuran Yew Yin yang mencarik perpaduan masyarakat berbilang kaum negara ini sepatutnya menjadi iktibar kepada masyarakat bahawa “terlajak kata buruk padahnya”.

Seribu maaf boleh dipinta untuk mengelakkan diri dari kecaman, namun perlulah difikirkan juga perasaan pihak yang menjadi mangsa sebelum sesuatu kata dituturkan untuk mengelakkan keadaan “laju mulut dari akal” berulang.

Namun begitu, sifat murni Yew Yin, atas alasan apa sekalipun, sanggup meminta maaf wajarlah dipuji berbanding mereka yang turut menghina perwira negara tetapi ego mengakui kesilapan diri.

One comment

  • Mohd. Desa bin Din

    Apakah permohonan maaf itu ikhlas atau terpaksa? Jangan lain dimulut lain dihati. Buktikan penyesalan itu ikhlas dan terbit dari lubuk hati. Kami rakyat Malaysia menunggu.

Leave a Reply