Pejuang yang dipotong tangan kerana bendera

Last Updated on

Oleh Rozais al-Anamy

BENDERA atau panji adalah sepotong kain berlogo sebagai simbol sesebuah negara atau perjuangan. Pada zaman Mesir purba, bendera juga digunakan untuk menyelaras tentera di medan perang. Begitu juga pada zaman Rasulullah s.aw., panji adalah lambang perjuangan yang membangkitkan semangat keimanan dan pengorbanan.

Dalam keadaan aman damai, bendera adalah simbol keharmonian dan kesejahteraan negara, namun ketika berlakunya peperangan, ia mewakili maruah sesebuah perjuangan. Justeru itu keadaan atau tempat letak sesebuah bendera itu sangat dijaga kehormatannya.

Bendera mesti dikibar julang dan tidak akan dilakukan sesuka hati. Bagi mereka yang sangat tinggi nilai patriotiknya, nyawa sanggup digadai untuk menjaga maruah bendera ini. Manusia tanpa maruah umpama tubuh tanpa nyawa.

Bendera adalah simbol maruah sesebuah negara. GAMBAR HIASAN

Generasi kini mungkin tidak dapat menghayati semangat sesetengah pejuang sanggup gugur di medan perang hanya kerana mempertahankan secarik kain. Dua kisah sahabat Nabi Muhammad s.a.w yang syahid kerana mempertahankan panji agar tidak dirampas tentera kafir adalah panduan kepada watan untuk lebih memahami makna maruah dan perjuangan.

Musáb ibnu ‘Umar r.a dalam Perang Uhud hilang anggota badan dan syahid dalam kesungguhannya mempertahankan panji Islam. Musáb tetap menjulang panji dengan sebelah tangan, dan apabila tangan sebelah lagi dipotong, beliau merapatkan dua lengannya ke dada untuk menahan bendera itu dari terjatuh. Bendera yang jatuh kerana gugurnya Musáb terus disambut sahabat lain.

Begitu juga dalam kisah Ja’far ibnu Abi Thalib r.a dalam Perang Mutáh. Bendera yang dikibarkan oleh ketua perang akan dirampas dalam sesebuah peperangan sebagai tanda kekalahan pihak musuh. Ja’far mempertahan bendera putih yang diberikan Rasulullah s.a.w walaupun dalam keadaan hilang kedua tangan, menahan dengan kedua lengan dan mengigitnya kukuh dengan gigi, sehingga beliau syahid.

Menurut Ábdullah ibnu Úmar r.a, badan Ja’far terbelah dua kerana ditetak dari belakang, dan terdapat 90 liang luka di bahagian hadapan badannya dalam usaha menjaga panji yang diamanahkan.

Dalam kedua-dua kisah sahabat itu, tentera kuffar bertindak memotong tangan pejuang Islam terlebih dahulu kerana di situlah panji perjuangan dijulang. Jatuhnya sebuah panji bermakna kemenanganlah yang di pihak satu lagi.

Dari sudut kenegaraan, bendera mempunyai nilai kedaulatan dan lambang maruah dan jati diri warganya. Kaedah dan atur cara penggunaannya yang salah boleh menjatuhkan martabat kedaulatan yang ada pada bendera, sekaligus suatu penghinaan kepada pemerintah tertinggi negara tersebut.

Fenomena “tersilap” memasang bendera di beberapa tempat dalam negara mutakhir ini sangat mengecewakan rakyat Malaysia. FOTO BERNAMA

Hampir tiga tahun lepas, sembilan warga Australia yang memakai seluar renang bercorak Jalur Gemilang semasa perlumbaan Grand Prix (GP) Formula One (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 Oktober 2016 disifatkan sebagai tidak berbudaya kerana menggunakannya bendera secara salah.

Fenomena “tersilap” memasang bendera di beberapa tempat dalam negara mutakhir ini sangat mengecewakan rakyat Malaysia, khususnya penduduk peribumi yang berjuang mati-matian mempertahankan negara dari segala anasir memporak-perandakan tanah air.

Kecuaian mereka pada ruang dan waktu yang sepatutnya menyemarakkan semangat cinta negara mencetuskan pelbagai persepsi oleh pelbagai kaum, dalam kepelbagaian rasa dan gelora. Dalam rasa rengsa yang masih bertebaran dalam kalangan warga, perlakuan terhadap simbol negara ini umpama sebatang mancis yang dilempar pada segunung sekam yang kering.

Jadi, bagaimana pula perbuatan warga yang menghina bendera negara sendiri di khalayak ramai dengan sengaja?

*ROZAIS AL-ANAMY adalah penulis sastera dan penulis bebas di akhbar, majalah dan portal di Malaysia.

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply