Rakyat Malaysia­­ menjadi pelarian di Australia?

Last Updated on

Oleh Dr. Azmi Hassan

AGAK memeranjatkan apabila Pesuruhanjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski mendedahkan terdapat 33,000 rakyat Malaysia yang memohon status pelarian di Australia pada ketika ini.

Tidak menghairankan jika rakyat Malaysia membuat permohonan untuk berhijrah ke Australia kerana negara tersebut merupakan antara destinasi negara popular untuk menetap. Setakat ini terdapat lebih dari 180,000 rakyat Malaysia yang telah menetap di Australia melalui proses penghijrahan. Malah rakyat Malaysia merupakan kesembilan terbesar dalam kumpulan pendatang di Australia.

Secara asasnya, jumlah rakyat sesebuah negara yang memohon status pelarian di negara asing adalah manifestasi adanya kemudaratan di negara asal mereka.

Terdapat 33,000 rakyat Malaysia yang memohon status pelarian di Australia pada ketika ini. GAMBAR HIASAN

Ini adalah kerana individu yang mempunyai status pelarian lazimnya bertindak meninggalkan negara asal untuk mengelak kemudaratan, sama ada kemudaratan dari faktor ekonomi, politik atau bencana semula jadi. Contohnya, rakyat Myanmar keturunan Rohingya berhijrah ke Malaysia kerana mereka diperlaku dengan kejam di negara asal mereka.

Menjadi kemusykilan apakah ada kebenaran statistik yang didedahkan oleh Pesuruhanjaya Tinggi Australia itu, kerana angka 33,000 mengambarkan keadaan negara yang tidak selamat bagi kumpulan yang membuat permohonan status pelarian tersebut.

Ini adalah kerana permohonan status pelarian ini bersamaan dengan permohonan perlindungan dari ancaman atau lebih dikenali sebagai permohonan suaka dan Australia diminta untuk menyediakan perlindungan tersebut.

Tetapi rupa-rupanya rakyat Malaysia yang teringin menjadi pelarian di Australia itu sebenarnya bukan lari dari kemudaratan di Malaysia, tetapi telah berada di Australia melebihi dari apa yang ditetapkan dalam visa mereka.

Untuk mengelak pihak berkuasa Australia mengusir mereka keluar secara perundangan, permohonan status pelarian dan suaka dibuat. Ini kerana mengikut perundangan migran Australia, pemohon status pelarian tidak boleh diusir selagi keputusan permohonan tersebut dalam proses penelitian.

Lompong perundangan migran Australia ini telah disalah guna demi untuk kepentingan diri sendiri. Senario sebegini menyusahkan pihak berkuasa Australia kerana agak sukar untuk mereka membezakan permohonan yang ada asas dengan permohonan yang tidak sepatutnya berlaku.

Lompong perundangan migran Australia ini telah disalah guna demi untuk kepentingan diri sendiri. Senario sebegini menyusahkan pihak berkuasa Australia kerana agak sukar untuk mereka membezakan permohonan yang ada asas dengan permohonan yang tidak sepatutnya berlaku.

Malaysia juga mendapat tempias yang tidak baik kerana secara sekilas pandang terhadap angka permohonan status pelarian rakyat Malaysia yang begitu besar, sudah pasti ia akan memberi persepsi bahawa ada sesuatu yang tidak kena di negara kita. Rakyat Malaysia yang terbabit ini besar kemungkinan tidak mahu menetap di Australia selama-lamanya tetapi mencuri peluang dari kelompongan itu untuk tinggal dan bekerja secara tidak sah dalam jangka masa yang lebih lama.

Fenomena ini bukan sahaja memberi persepsi yang tidak betul mengenai keadaan sebenar di Malaysia, tetapi besar kemungkinan kerajaan Australia akan mengambil tindakan susulan untuk mengekang salah guna proses permohonan status pelarian ini. Ini kerana permohonan visa Australia untuk rakyat Malaysia dilakukan di atas talian dan kelulusannya adalah cepat dan mudah.

Kemudahan ini dianggap sebagai keistimewaan yang disediakan oleh Australia kepada rakyat Malaysia bermula dari tahun 1990 lagi. Apakah Canberra akan mengetatkan lagi proses permohonan visa rakyat Malaysia selepas ini demi untuk mengelak terlalu ramai yang berada di Australia melebihi had yang dibenarkan dalam visa? Ada kemungkinannya ia akan terjadi.

Ramai daripada pendatang di Australia memohon status pelarian kerana telah berada di sana melebihi ketetapan visa. GAMBAR HIASAN

Jika ini berlaku, perbuatan segelintir rakyat Malaysia yang hanya mementingkan diri sendiri itu akan menyusahkan sebahagian besar rakyat Malaysia yang lain kerana Australia adalah antara destinasi popular untuk rakyat Malaysia melancong.

Tetapi menarik juga apabila Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Marzuki Yahya mendedahkan dari Julai 2018 hingga April 2019 terdapat 4,973 permohonan visa perlindungan (berbeza dengan visa melancong atau perniagaan) dari rakyat Malaysia.

Di antara sebab popular mengapa visa perlindungan dipohon oleh kumpulan rakyat Malaysia ini antaranya ialah kerana tekanan keluarga dan juga amalan diskriminasi disebabkan status bangsa dan agama masing-masing.

 *Dr Azmi Hassan adalah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

 

Leave a Reply