Hambat rakyat ke sempadan

Last Updated on

Oleh Razali Awang
(Media Syria Care)

DEMI menyelamatkan nyawa dari serangan, ribuan pelarian Syria yang terkepung di utara Idlib cuba melepasi ke sempadan Syria-Turki.

Selain mendesak supaya pintu sempadan dibuka, Ankara dirayu supaya bertindak menghalang kemaraan tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya Rusia di kawasan berkenaan.

Meskipun serangan tanpa henti dilancarkan lebih empat bulan, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih berdiam diri.

Mereka juga menuntut janji pentadbiran Presiden Recep Tayyip Erdogan supaya menguatkuasa kawasan penampan atau Zon Bebas Tentera yang dibuatnya bersama Rusia pada September 2018. 

Namun tindakan itu dibalas dengan tembakan amaran yang disusuli gas pemedih mata dan meriam air.

Keadaan semakin kritikal di Idlib selepas lebih 700,000 pelarian di bahagian selatan wilayah itu terpaksa melarikan diri ke utara selepas beberapa bandar dan kawasan yang sebelum ini dikuasai kumpulan penentang jatuh ke tangan regim dan sekutunya.

Meskipun situasi semakin meruncing, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikatakan masih “mendiamkan diri” walaupun pelbagai pihak mendesak supaya badan dunia itu bertindak segera untuk menghentikan serangan ke atas orang awam.

Sejak empat bulan lepas, pelarian di kawasan berkenaan terpaksa berpindah antara lima hingga kesepuluh kali bagi menyelamatkan diri.

Response Coordination Group (RCG) merekodkan sejak Februari 2019 lebih 1,248 orang awam telah terbunuh di mana 322 daripadanya adalah kanak-kanak.

Angka itu tidak termasuk jumlah korban di Maarat al Nu’man, yang kini menjadi sasaran terbaharu regim selepas bandar Khan Sheikhoun berjaya ditawan.

Menurut White Helmets, 42 orang maut sepanjang tempoh 23 Ogos hingga 28 Ogos 2019. 21 daripada mangsa adalah lelaki, 12 kanak-kanak dan selebihnya wanita.

Pada tempoh yang sama lebih 138 serangan dilancarkan dan lebih 42 bom barel telah digugurkan di kawasan berkenaan.

Leave a Reply