Perajurit tertembak: Antara tanggungjawab dan air mata

Last Updated on

Gambar terakhir Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya.

KITA semua tahu ajal itu adalah ketentuan Ilahi. Kita juga sedar apa yang ditakdirkan akan berlaku pada kadar dan waktunya.

Hari ini tentunya amat mendukakan rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan anggota tentera apabila mereka kehilangan seorang rakan seperjuangan dari Grup Gerak Khas (GGK) atau komando yang tertembak ketika sesi demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.

Demonstrasi yang sepatutnya menunjukkan keupayaan ketumbukan elit tentera darat itu berakhir dengan insiden melukakan.

Mejar Mohd Zahir Armaya, 36, seorang komando berpengalaman yang juga bapa kepada lima cahaya mata dan anak kepada pelakon veteran, AR Badul, disahkan meninggal dunia selepas tertembak dalam sesi demonstrasi keupayaan sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13, di Kem Lok Kawi.

Di laman maya, visual dan gambar insiden itu tersebar cepat oleh netizen yang mengejar “like” dan populariti. Mahu menjadi yang pertama tanpa mempedulikan langsung keaiban mangsa dan menghormati sensitiviti keluarga yang sedang berduka.

Maka tersebarlah di laman maya, termasuk di portal berita, gambar perajurit yang rebah berdarah itu dikerumuni anggota komando lain yang cuba menyelamatkannya.

Di saat itu juga timbul persoalan dan spekulasi liar seperti kenapa demonstrasi itu menggunakan peluru hidup, mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) latihan tentera selain persoalan tentang punca insiden itu.

“Kami sedang berduka, belum masanya untuk menjelaskan (mengenai penggunaan peluru hidup,” demikian kata seorang pegawai tentera ketika dihubungi Bilik Berita TV AlHijrah petang tadi bagi mendapatkan reaksi pihak tentera dalam insiden ini.

Pun begitu kami mendapatkan pandangan pemerhati industri pertahanan yang juga Editor Majalah Perajurit, Muhsin Al Hafiz mengenai penggunaan peluru hidup dalam latihan tentera khususnya latihan membabitkan anggota komando.

“Ini adalah latihan standard mereka (komando) menggunakan peluru hidup pada sasaran hidup,” katanya.

Latihan menggunakan peluru hidup pada sasaran hidup adalah standard latihan paling tinggi bagi anggota komando di mana-mana negara bagi membentuk tahap keyakinan tinggi anggota dalam berdepan situasi sebenar, peluru sebenar dan nyawa sebenar.

“Hanya anggota komando sahaja menerima latihan begini, bukan untuk anggota biasa yang lain. Dan mereka berlatih menembak piring sasaran sehingga seratus peratus tanpa tersasar, kemudian barulah ujian tembakan bahaya menggunakan sasaran hidup dibenarkan. Tiada sedikit pun kesilapan dibenarkan, sebab jika ia berlaku nyawa adalah akibatnya. Inilah yang berlaku kepada Allahyarham Mejar Zahir hari ini,” kata Muhsin.

Hakikat ini jelas kerana sekalipun anggota tentera terbabit memakai jaket kalis peluru (yang melindungi 35 peratus anggota badan iaitu lingkungan organ kritikal di tengah badan, 65 peratus lagi bahagian badan lain adalah titik buta yang boleh menyebabkan kematian.

Dan jika tersasar satu inci sekalipun, nyawa akan menjadi taruhan. Hakikat ini menggambarkan betapa anggota komando itu dilatih dalam situasi sebenar yang mungkin tidak dapat diterima oleh orang awam.

Tahap latihan tertinggi ini membuktikan betapa pengorbanan anggota tentera, khususnya komando, yang harus bersiap siaga dalam semua keadaan bagi memastikan kita semua mampu makan dan tidur lena dengan aman dan selamat di rumah.

Inilah realiti antara tanggungjawab dan air mata perajurit yang mungkin ramai tidak sedar selama ini.

“Saya reda dan terima ujian Allah ini,” kata bapa Allahyarham AR Badul.

“Baju kalis peluru yang dipakainya (Allahyarham Mohd Zahir) tidak mampu menahan tembakan itu dan ia sangat menyedihkan,” katanya lagi yang dipetik Metro Online.

Insiden kematian ini klasifikasikan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kematian secara cuai atau membunuh tanpa niat.

Biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan punca insiden melukakan ini. Cukup-cukuplah kita menambahkan kedukaan keluarga Allahyarham dan keluarga besar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjaga keamanan dan keselamatan kita siang dan malam, dengan pelbagai spekulasi liar. Al Fatihah. – Syed Azwan Syed Ali/Alhijrah Online

Leave a Reply