Isu Syria: Jumlah kematian hanya sekadar angka

Last Updated on

304 kanak-kanak di utara Syria terbunuh dalam tempoh empat bulan lalu akibat serangan yang dilancarkan tentera regim Bashar al Assad. FOTO SYRIA CARE

KENYATAAN Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Michelle Bachelet bahawa lebih 1,089 orang termasuk 304 kanak-kanak di utara Syria terbunuh akibat serangan yang dilancarkan tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya, Rusia sepanjang 29 April 2019 sehingga 29 Ogos 2019 tidak memberi kesan kepada rakyat Syria.

Angka berkenaan hanya fakta di atas kertas kerana sehingga kini tiada sebarang usaha konkrit yang dilakukan badan dunia itu untuk menghentikan sepenuhnya serangan yang dilancarkan ke atas orang awam khususnya di Idlib dan sebahagian Hama.

Keadaan reda beberapa hari lalu hanya bersifat sementara selepas regim dan sekutunya mengisytiharkan gencatan senjata sebelah pihak pada Sabtu lepas.

Bagi mangsa konflik, pematuhan gencatan senjata ibarat angin lalu. Persepsi itu berdasarkan pengalaman lalu kerana sehingga kini tiada satupun usaha untuk menghentikan serangan ke atas orang awam seperti pelaksanaan kawasan bebas perang (De-escalation zone) dan zon bebas tentera (DMZ) dipatuhi.

Kesudahannya, ia hanya tinggal nama.

Sebelum ini pada 1 Ogos, cara yang sama dilakukan regim dan sekutunya ketika mara ke selatan Idlib.

Beberapa hari selepas “menabur janji” mereka bertindak menyerang dan menguasai bandar Khan Sheikhoun serta beberapa kampung berhampiran.

“Regim sering mengkhianati gencatan senjata.

“Rusia tipu, Assad tipu. Kami tidak boleh mempercayai sesiapa,” kata Erwa al Abdullah kepada The Defense Post.

Atas sebab itu, dia yang kini berlindung di khemah pelarian di Deir Hassan di utara Idlib terpaksa melarikan diri lebih dua kali. Pertama dari pinggir Hama pada 2015 dan kedua dari Jabala, selatan Idlib.

Sehingga kini, Damsyik dan Moscow tetap menegakkan benang basah dengan menyangkal melakukan serangan ke atas orang awam, sebaliknya menjadikan pelbagai kumpulan penentang yang berada di wilayah itu sebagai sasaran.

Lebih malang pemimpin dunia seakan merestui perbuatan berkenaan meskipun apa yang dilakukan regim dan sekutunya jelas bercanggah dengan piagam PBB dan Konvensyen Perang Geneva.

Kita yang marhaen hanya sekadar pemerhati permainan mereka.

*Razali Awang (Media Syria Care)

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply