ANGKA TRAGIK DUNIA DIREKODKAN DI GAZA

Last Updated on

Situasi Gaza semakin parah selepas dikepung selama lapan tahun oleh rejim Israel. Foto AA.

ANKARA: Angka krisis kemanusiaan paling tragik di dunia dicatatkan di Gaza selepas lapan tahun wilayah konflik itu dikepung rejim zionis.

Ia mencatatkan 52 peratus bagi kadar pengangguran, 53 peratus kemiskinan, 95 peratus pencemaran air dan 75 peratus gangguan bekalan elektrik harian.

Gaza Aid Association sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Istanbul mendedahkan perkara itu dalam persidangan khas berkaitan Gaza dan laporan tahunannya semalam.

Situasi di Gaza adalah “paling buruk sepanjang kepungan bertahun-tahun itu,” kata Pengurus Besar NGO itu, Abdul Majed al-Aloul dipetik portal berita Anadolu Agency.

“Bencana yang tidak dapat dielakkan di Gaza menjelang 2020, di mana wilayah itu tidak lagi boleh diduduki semakin hampir berlaku mengikut ramalan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu),” kata Abdul Majed.

Bekalan ubat-ubatan pula mencatatkan 50 peratus kekurangan dengan 27 peratus peralatan dan keperluan kesihatan tidak mencukupi, kata wakil serantau Islamic Committee of the International Crescent, Omar Tasli pada persidangan itu.

Tujuh puluh tujuh (77) peratus rumah di Gaza yang rosak dan musnah akibat serangan rejim menyebabkan ribuan keluarga hilang tempat tinggal dengan proses pembangunan semula terjejas, kata Anne Jellema yang mengetuai Run4, sebuah yayasan berpangkalan di Belanda.

Gaza dikepung rejim Israel sejak 2007 selepas Hamas menguasai wilayah konflik itu daripada Fatah melalui pilihan raya, sekaligus menjejaskan kehidupan warga Palestin di situ.

Leave a Reply