Isu doa: Jakim perlu lebih tegas

Last Updated on

Upacara berdoa beramai-ramai secara senyap atau bergilir-gilir mengikut agama-agama dalam program bagi orang Islam adalah tidak harus sebagaimana kenyataan dikeluarkan JAKIM, semalam.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diminta mengeluarkan kenyataan yang lebih tegas berhubung penglibatan orang Islam dalam upacara berdoa beramai-ramai secara senyap atau bergilir-gilir mengikut agama-agama dalam program.

Orang ramai yang menyuarakan pandangan mereka melalui ruangan komen di laman Facebook rasmi JAKIM menyatakan, kenyataan badan agama itu terhadap isu tersebut berbentuk kabur dan boleh menimbulkan salah faham masyarakat, serta tidak memutuskan secara tepat hukum sebenar bagi situasi yang dibangkitkan.

“Harap Jakim dapat lebih jelas. Penggunaan perkataan ‘tidak mengharuskan’ adalah kabur dan sukar difahami masyarakat terbanyak sebagai bermaksud haram”, kata seorang pengunjung laman media sosial itu.

“Jakim harus beri fatwa yang jelas berdasarkan hukum. ‘Tidak mengharuskan’ boleh memberi kekeliruan kepada orang Islam. Lebih mudah (fatwa) ‘tak boleh’”, kata pengunjung yang lain.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semalam mengeluarkan kenyataan bahawa orang Islam tidak harus melibatkan diri dalam sebarang majlis doa beramai-ramai dengan agama lain sebagai menjawab pertanyaan yang dirujuk kepada pihaknya oleh pihak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (PERPADUAN) pada 6 Ogos lepas berhubung isu tersebut.

Kenyataan tersebut dibuat selepas merujuk kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-74 pada tahun 2006 yang memutuskan hukum tersebut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali ke-113.

Larangan itu dibuat berdasarkan kepada prinsip sadd al-zara’i iaitu menutup jalan-jalan kerosakan, bagi mengekang fahaman pluralisme agama dan mengekang penyebaran agama lain kepada penganut agama Islam berdasarkan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.

Namun keputusan tersebut hanya terhad kepada orang Islam sahaja, manakala penganut agama lain bebas untuk menganjur atau terlibat dengan upacara seumpamanya.

Leave a Reply