Tangani isu kutipan, agihan zakat secara hikmah

Last Updated on

Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

KUALA LUMPUR – Isu kutipan dan agihan zakat perlu ditangani dengan perbincangan dan diskusi secara hikmah.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, perbincangan itu bagi memastikan keputusan dan pelaksanaannya menepati syarak, lebih efisyen dan objektif pensyariatan zakat tercapai.

“Saya lihat isu yang hendak dibangkitkan adalah isu tentang pelaksanaan, isu bagaimana zakat ini kita dapat untuk aplikasikan dalam situasi masa kini, dalam bentuk yang terkini, dan dalam bentuk yang moden, sesuai dengan suasana zaman kita sekarang ini’’, katanya dalam sidang media selepas merasmikan Muzakarah Zakat Kebangsaan 2019 di Nilai, Negeri Sembilan.

Bagi melestarikan pengurusan institusi zakat di negara ini, langkah tersebut perlu dilakukan secara berterusan agar pengurusan zakat sentiasa ditambah baik mengikut kehendak semasa serta selari dengan maqasid syariah, tambahnya lagi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) yang juga pengarah program, Profesor Madya Dr. Azman Abdul Rahman berkata, muzakarah kali ini akan mengupas isu semasa mengenai kutipan dan agihan zakat, serta cabaran pemerkasaan institusi zakat dalam konteks Malaysia baharu.

23 kertas kerja dibentang mencakupi pelbagai isu zakat dengan 10 resolusi dipersetujui dalam muzakarah dua hari yang berakhir semalam.

Selain INFAD, muzakarah ini turut mendapat kerjasama International Fatwa and Halal Centre (IFFAH), dan Pusat Wakaf dan Zakat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Leave a Reply