IKRAM Selangor sokong teks khutbah tentang syiah

Last Updated on

Teks khutbah berkenaan sambutan Hari Karbala yang mengundang kritikan para penyokong syiah di Malaysia semalam.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Selangor menyokong penuh teks khutbah yang dibacakan di seluruh masjid sewaktu solat Jumaat di Selangor semalam.

Kenyataan yang dikeluarkan IKRAM Selangor itu juga menolak kritikan segelintir pihak yang secara terang-terangan mengkritik teks khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu berkenaan sambutan Hari Karbala pada 10 Muharam oleh pengikut Syiah.

“Kritikan berkenaan tidak berasas, hanyalah propaganda segelintir pihak yang cuba mempertahan dan mempromosikan kesesatan ajaran syiah itu sendiri”, kata Yang Dipertua Pertubuhan IKRAM Selangor, Norazmi Mat Noh dalam kenyataannya semalam.

Norazmi juga berkata, sokongan itu juga kerana ajaran syiah telah pun difatwakan sesat dan menyeleweng bukan sahaja di Selangor, bahkan di semua negeri.

“IKRAM Selangor menyeru umat Islam khususnya di Selangor agar berpegang teguh kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menolak sebarang bentuk dakyah dan amalan syiah”, tegas beliau lagi.

Antara dakyah dan amalan sesat syiah termasuklah menyambut hari kematian dan kedukaan Saidina Husain pada hari Asyura dan mencederakan kepala serta tubuh badan (tatbir); mengkafirkan Ummul Mukminin Saidatina Aisyah dan isteri-isteri Rasulullah SAW yang lain; dan mengkafirkan para sahabat terutama Saidina Abu Bakar As Siddiq, Saidina Umar Al Khattab dan Saidina Uthman Al Affan.

Kenyataan itu juga menyeru agar pihak berkuasa terus melakukan pemantauan serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba menyebarkan, mengamal dan mempromosi ajaran syiah ini daripada berkembang biak.

Leave a Reply