KONFLIK SYRIA: TURKI, AS MULA RONDAAN BERSAMA

Last Updated on

Enam kenderaan perisai dengan bendera Turki menyertai konvoi tentera AS sepanjang 30 kilometer dari daerah Akcakale di selatan Sanliurfa di Turki ke Tal Abyad di Syria. Foto AA

SANLIURFA (Turki): Tentera Turki dan Amerika Syarikat (AS) hari ini memulakan rondaan bersama di zon selamat yang dirancang di timur Sungai Euphrates di Syria.

Kementerian Pertahanan Turki mengumumkan permulaan rodaan darat bersama itu melalui ciapan Twitter selain memaklumkan rondaan itu turut disokong penggunaan pesawat tanpa pemandu.

Anadolu Agency melaporkan enam kenderaan perisai dengan bendera Turki menyertai konvoi tentera AS sepanjang 30 kilometer dari daerah Akcakale di selatan Sanliurfa iaitu sebahagian daripada fasa pertama mewujudkan zon selamat itu.

Rondaan bersama itu meliputi kawasan selatan Turki hingga ke Tal Abyad di Syria dan dilaporkan tamat jam 1 tengah hari waktu tempatan.

Tentera Turki dan AS pada 7 Ogos lalu bersetuju mewujudkan zon selamat di utara Syria dan menyediakan laluan selamat kepada pelarian Syria yang ingin pulang ke wilayah konflik itu. Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk membangunkan pusat operasi bersama.

Pasukan enam anggota dari AS tiba di Turki pada 12 Ogos lalu bagi persiapan pusat operasi bersama itu.

Kerjasama itu juga membabitkan perangkaan langkah-langkah keselamatan perlu bagi mengatasi kebimbangan Turki, termasuk membersihkan zon itu daripada kumpulan pengganas YPG/PKK yang mana didakwa menjadi sekutu AS, tetapi menerima bantahan Turki.

YPG (Unit Perlindungan Rakyat Kurdis)/PKK adalah cabang gerakan pengganas Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang mana bertanggungjawab di atas kematian hampir 40,000 orang di Turki sejak 30 tahun lalu, termasuk kanan-kanak, wanita dan bayi. – Agensi

Leave a Reply