MASJID-MASJID UTAMA ADAKAN SOLAT SUNAT ISTISQA MOHON HUJAN

Last Updated on

JAKIM saran masjid seluruh negara adakan solat sunat Istisqa mohon hujan atasi jerebu.

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui masjid-masjid utama di bawah kelolaannya akan mengadakan Solat Sunat Istisqa selepas solat Isyak malam ini bagi membantu mengurangkan masalah jerebu yang semakin meruncing.

Ketua Pengarahnya, Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim berkata masjid terbabit adalah Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dan orang ramai dijemput hadir menjayakannya.

Beliau berkata pihak JAKIM telah dihubung Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang memaklumkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan yang mencecah paras Sangat Tidak Sihat.

“Keadaan ini ditambah dengan hujan yang kurang menyebabkan kemarau dan masalah jerebu berpanjangan.

“NADMA mengesyorkan JAKIM untuk mengadakan Solat Sunat Istisqa di masjid-masjid bagi memohon hujan dan mengurangkan masalah jerebu,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Ketua Pengarah JAKIM itu juga memohon jasa baik dan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri di seluruh Malaysia supaya menyeru semua masjid di bawah pentadbiran masing-masing melaksanakan Solat Sunat Istisqa bagi tujuan sama.

“Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat hujan di bumi Malaysia yang tercinta ini dan melindunginya dari bencana yang tidak diingini,” katanya. – Hijrah Online

Leave a Reply